Auto Added by WPeMatico

![]()
SEPANG – Pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi teruja dengan kemampuan jentera RS-GP 2026 selepas mencatat masa ketiga terpantas pada hari pertama sesi ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Pada sesi sebelah pagi itu, Bezzecchi merekodkan masa ketiga terpantas dengan perbezaan 0.407 saat (s) di belakang pelumba terpantas, Alex Marquez (Gresini Racing) yang melakukan catatan 1 minit 57.487s, manakala Luca Marini (Honda HRC) di kedudukan kedua.
Biarpun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai pengubahsuaian yang dilakukan pada jentera RS-GP miliknya, pelumba kelahiran Itali itu mengakui tidak mempunyai sebarang masalah pada peringkat awal itu.
“Sangat seronok dapat menunggang jentera MotoGP semula. Ia sangat laju dan cubaan pertama sentiasa menyeronokkan. Pasukan kami di Noale (ibu pejabat Aprilia) melakukan kerja yang sangat baik, walaupun masih terlalu awal untuk memberikan komen yang jelas dan menyeluruh mengenai jentera baharu ini.
“Mereka membawa banyak komponen untuk kami cuba, jadi kami perlu melakukan banyak pusingan. Kami juga perlu bijak menguruskan tayar kerana bekalannya tidak banyak.
“Setiap pusingan perlu dilakukan dengan baik untuk benar-benar memahami apa yang sedang diuji. Namun buat masa ini, saya tidak boleh mengeluh terlalu banyak,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, pelumba Prima Pramac Yamaha, Jack Miller menduduki tempat keempat, manakala pelumba sensasi, Pedro Acosta (Red Bull KTM) melengkapkan senarai lima pelumba terpantas.
Juara dunia 2025, Marc Marquez menamatkan sesi di kedudukan ke-11, manakala Francesco Bagnaia berada di kedudukan ke-17 terpantas sesi ujian sebelah pagi itu.
Turut mencuri tumpuan adalah kehadiran juara WorldSBK, Toprak Razgatlioglu yang menguji jentera Prima Pramac Yamaha dan menamatkan saingan di tempat ke-14 dengan catatan 1:58.887s. -KOSMO! ONLINE
The post Bezzecchi teruja pacu jentera Aprilia RS-GP26 appeared first on Kosmo Digital.
