Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Komposer Ajai tidak menafikan keperibadian bintang Big Stage Rocketfuel, Hussain mempunyai persamaan dengan Mawi yang pernah mencipta fenomena sewaktu menyertai Akademi Fantasia musim ketiga sekitar dua dekad lalu.
Menurut Ajai, anak kepada penyanyi veteran, Jamilul Hayat itu mempunyai daya tarikan yang mampu membuatkan orang ramai jatuh cinta, menyukai dan menyayanginya.
“Ya (sama) kalau kita tengok macam mana dia menari di pentas, seperti tiada perasaan tetapi itulah original dirinya.
“Ubahlah macam mana sekali pun, dia menari dan bergerak pun orang tetap suka.
“Dia mengingatkan saya tarikan yang ada pada Mawi dulu,” katanya kepada Kosmo! Online di sini semalam.
Ditemui selepas konsert minggu kelima Big Stage Rocketfuel, Ajai bagaimanapun berharap Hussain tidak terlalu berasa selesa dengan semua populariti diraih hari ini dan harus terus memperbaiki mutu nyanyian dan persembahan.
“Namun kalau dia dah berjaya, jangan lupa perkemaskan kualiti nyanyian dan persembahan sendiri. Semua itu bagi memastikan mutu vokal serta persembahan seiring dengan daya penarik yang dimiliki.
“Jadi, perlu seiringlah berjuta-juta orang suka suaranya, dia pun kena perlu beri semula jumlah sama kepada peminat,” jelasnya.
Mengulas mengenai persembahan Hussain pada konsert minggu kelima, dia memberitahu anak saudara penyanyi Datuk Jamal Abdillah itu ‘menang’ dari aspek persembahan berbanding vokal.
“Saya tidak cakap Hussein menyanyi tak bagus tetapi kemenangannya malam ini (semalam) adalah persembahan ditambah dengan pelbagai gerakan di pentas.
“Kalau kita nak bandingkan suara dia dengan Ranisha, Hussain bukan dalam kategori ‘vocal-spec competition’ (khusus kepada penilaian seperti teknik nyanyian kawalan suara, lontaran vokal, intonasi dan kualiti persembahan.
“Dia bukan (dalam kategori) tersebut,” katanya lagi.
Terdahulu, Ajai merupakan juri jemputan bagi konsert minggu kelima Big Stage Rocketfuel di samping tiga lagi juri tetap iaitu Hael Husaini, Akim Ahmad dan Aisha Retno. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Menari seperti tiada perasaan, Hussain mengingatkan saya kepada Mawi’ appeared first on Kosmo Digital.
