Auto Added by WPeMatico

![]()
SEREMBAN – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli optimis Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, meskipun bakal berdepan saingan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan (PH).
Mohd Faizal berkata, sebaik proses penamaan calon selesai, beliau akan memulakan gerak kerja kempen secara menyeluruh bagi memastikan sokongan pengundi terus kekal memihak kepada BN.
“Semalam PH telah mengumumkan senarai calon mereka dan disahkan Menteri Besar akan bertanding di N32 Linggi. Sebagai penyandang, sudah tentu saya akan mempertahankan kerusi ini daripada dirampas PH.
“Walaupun Linggi sering digambarkan sebagai kubu kuat BN, ia bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah. Saya tetap akan turun padang, berkempen dan memenangi hati pengundi di seluruh kawasan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Negeri Sembilan di Seremban.
Beliau berkata, kejayaan mempertahankan kerusi itu bergantung kepada usaha berterusan semua jentera parti di setiap kampung dan taman.
“Saya yakin jika semua jentera bekerja keras di setiap kampung dan taman, insya-Allah BN mampu mempertahankan Linggi daripada dirampas PH,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Mohd Faizal yakin BN pertahan Linggi appeared first on Kosmo Digital.


