Auto Added by WPeMatico

![]()
JERANTUT – Berpura-pura mahu membeli barang kemas untuk majlis pertunangan sebelum bertindak melarikannya.
Itu yang dilakukan seorang penjenayah yang bertindak melarikan barang kemas di sebuah kedai emas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Arshad Ayob berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu menyebabkan pemilik kedai emas berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM25,900.
“Berdasarkan siasatan awal lelaki berkenaan berpura-pura mahu membeli barang kemas dan meminta jurujual mengeluarkan barang kemas.
“Kemudiannya suspek meminta melihat barang kemas lain dan apabila jurujual mahu mengambil barang kemas diminta, suspek bertindak melarikan barang kemas berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, antara barang kemas yang dilarikan ialah tiga utas rantai tangan, sebentuk cincin emas dan sebentuk cincin suasa yang bernilai kira-kira RM25,900.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan bagi mengesan suspek.
Katanya, polis telah mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup dan berdasarkan siasatan awal mendapati suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal.
“Polis menasihatkan semua pemilik kedai emas dan jurujual agar lebih berhati-hati agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pura-pura beli gelang, cincin tunang… appeared first on Kosmo Digital.
