Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA- Seramai 244 peniaga kecil di Putrajaya bakal menikmati manfaat pengurangan kadar sewa bulanan sebanyak 30 peratus bermula 1 Jun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu melibatkan peniaga medan selera, kios penjaja dan pasar di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang akan dilaksanakan selama 12 bulan sehingga 30 Mei 2027.
“Bagi melayakkan mereka menikmati pengurangan kadar sewa ini, peniaga yang terlibat perlu menyelesaikan tunggakan sewa sehingga bulan ini.
“Langkah ini juga memberi peluang kepada mereka untuk menyusun semula komitmen sewaan secara lebih stabil dan mampan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Medan Selera Presint 9 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, langkah itu juga bertujuan mengurangkan tekanan operasi dan membantu peniaga kecil terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Katanya lagi, peniaga kecil tidak sepatutnya dibiarkan berjuang sendirian ketika cabaran kos sara hidup terus dirasai rakyat.
“Saya memahami ramai peniaga kecil memulakan hari seawal pagi demi memastikan perniagaan mereka terus berjalan dan keluarga mereka terus terbela.
“Saya berharap langkah ini dapat memberi sedikit ruang bernafas kepada peniaga kecil yang setiap hari berusaha untuk mencari rezeki demi keluarga mereka,” ujarnya.
Pada masa sama, Hannah turut mengumumkan pemberian diskaun makanan dan minuman sebanyak 10 hingga 15 peratus kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang ditawarkan oleh peniaga.
“Bermula di medan selera di sini semua peniaga telah bersetuju untuk memberikan diskaun makanan dan minuman sehingga maksimum 15 peratus kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas
“Saya ucapkan terima kasih kepada persatuan penjaja kerana mereka menyahut inisiatif PPj ini dan PPj merupakan PBT (pihak berkuasa tempatan) yang pertama di Jabatan Wilayah Persekutuan yang melaksanakan inisiatif ini.
“Kita juga hendak pastikan golongan yang terkesan seperti warga emas ini yang tiada hasil pendapatan boleh menikmati diskaun yang ditawarkan.
“Apabila PPj tawarkan pengurangan sewa 30 peratus, jadi pengurangan sewa itu mereka boleh ‘pump’ semula kepada golongan warga emas, kira ‘win win situation’ untuk semua pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 244 peniaga kecil nikmati pengurangan kadar sewa 30 peratus appeared first on Kosmo Digital.
