Auto Added by WPeMatico
Ops Kontraban Mega: Empat individu ditahan di Pengkalan Hulu, Gerik

![]()
IPOH – Empat individu diberkas Polis Perak menerusi Ops Kontraban Mega dalam tiga serbuan berasingan di daerah Pengkalan Hulu dan Gerik semalam melibatkan rampasan minuman keras dan rokok seludup bernilai kira-kira RM115,551.80.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan pertama kira-kira pukul 5 petang semalam dijalankan di sebuah premis perniagaan di Jalan Taufil, Pengkalan Hulu oleh Bahagian Siasatan Jenayah dengan kerjasama Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan telah menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok disyaki tidak bercukai yang disimpan di bawah rak barangan runcit.
“Dua wanita tempatan berusia 57 dan 44 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan. Anggaran nilai rampasan bagi serbuan pertama adalah sebanyak RM32,117 melibatkan minuman keras bernilai RM3,917 dan rokok bernilai RM28,200,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Alwi berkata, serbuan kedua kira-kira pukul 7 malam pula dijalankan di sebuah premis perniagaan di Jalan Iskandar, Pengkalan Hulu.
Katanya, hasil pemeriksaan telah menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok disyaki tidak bercukai yang disimpan di dalam stor premis berkenaan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang merupakan pemilik premis telah ditahan.
“Nilai rampasan bagi serbuan kedua dianggarkan berjumlah RM32,694.80 melibatkan minuman keras bernilai RM10,154.80 dan rokok bernilai RM22,540,” katanya.
Dalam operasi berasingan di daerah Gerik, Mohd. Alwi berkata, kira-kira pukul 10.10 pagi, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Gerik dengan kerjasama KDNKA IPD itu telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios berwarna perak dalam keadaan mencurigakan di Jalan Kampung Padang Kunyit.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut telah menemukan 100 karton rokok disyaki tidak bercukai, terdiri daripada 50 karton rokok jenama John dan 50 karton rokok jenama D&J.
“Turut dirampas ialah sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai digunakan bagi kegiatan tersebut. Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Secara keseluruhannya, beliau berkata, operasi itu telah membawa kepada tangkapan empat individu melibatkan dua lelaki dan dua wanita tempatan serta rampasan pelbagai jenis rokok dan minuman keras disyaki tidak bercukai.
“Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Barang rampasan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut serta dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Ops Kontraban Mega: Empat individu ditahan di Pengkalan Hulu, Gerik appeared first on Kosmo Digital.
