Auto Added by WPeMatico

![]()
SEPANG – Bekas pengarang berita di sebuah syarikat televisyen swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas petuduhan membuat penghantaran komunikasi yang palsu menerusi laman Facebook miliknya.
Tertuduh, Mohd. Khaidir Ahmad selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, OKS secara sedar didakwa membuat penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya menerusi aplikasi Facebook menggunakan akaun ‘Khaidir Ahmad’ pada 8.55 pagi, 12 April lalu.
Hantaran yang mengandungi maklumat palsu tersebut mendakwa sebuah kapal membawa 52 juta liter diesel bersubsidi dari Sabah untuk diseludup ke Filipina serta mempersoalkan pihak didakwa meraih keuntungan daripada kegiatan itu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Siti Hajar Sulaiman meminta jaminan sebanyak RM7,000 bersama seorang penjamin.
Namun begitu, OKS yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan lebih rendah atas alasan pesara swasta yang tidak mempunyai pencen serta telah diisytiharkan muflis.
Selain itu, OKS juga menanggung empat orang anak yang masih belajar di kolej dan sekolah serta seorang isteri yang lumpuh akibat strok.
Hakim kemudian membenarkan OKS diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE
The post Bekas ketua pengarang mengaku tidak bersalah sebar hantaran palsu appeared first on Kosmo Digital.
