Auto Added by WPeMatico

![]()
SUBANG JAYA – Pelakon Hariz Hamdan berpendapat bahawa tiada sesiapa berhak menilai orang sesuka hati termasuk insiden melibatkan regu lakonnya, Hazwani Helmi yang berdepan kecaman teruk susulan penggunaan telefon pintar jenama Apple edisi terkini dalam sebuah acara, baru-baru ini.
Ujar Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 23, setiap individu memiliki kekhilafan tersendiri dan seharusnya tidak dihukum oleh manusia.
“Untuk menghubunginya buat masa sekarang memang belum sempat kerana saya sibuk penggambaran. Tidak sempat hendak berjumpa atau bertanya khabar. Cuma saya ada dengar juga mengenai isu tersebut.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa. Mungkin di mata sesetengah orang perkara itu dianggap salah, tetapi siapa kita untuk menghukum manusia? Hanya Tuhan berhak mengadili hamba-Nya.
“Jika dia melakukan kesilapan, biarlah Tuhan menentukan balasannya. Begitu juga jika kita sendiri tersilap, biarlah Tuhan menghukum. Kita bukan penentu apa benar atau salah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Sebelum ini, tindakan Hazwani merakam video ketika malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) mencetuskan perdebatan netizen selepas penggunaan telefon pintar keluaran Apple oleh aktivis Global Sumud Flotilla itu dikaitkan dengan dakwaan sumbangan dana kepada Israel.
Dalam perkembangan lain, gandingan Hariz dan Hazwani dalam drama Iqbal turut mencuri perhatian sehingga mencetuskan usikan peminat mahu melihat mereka disatukan.
Mengulas perkara itu, bekas peserta Hero Remaja itu tidak menafikan maklum mengenai cubaan menjodohkan mereka, namun menegaskan hubungan terjalin sekadar rakan sekerja.
Dia bagaimanapun tidak menolak soal jodoh dan percaya atas segala ketentuan Ilahi.
“Saya tahu ramai cuba menjodohkan kami dan saya tidak menyalahkan sesiapa. Saya selesa berkawan dengan Hazwani sebagai rakan kerja, tidak lebih daripada itu.
“Jodoh berada dalam genggaman Allah. Siapa saya hendak menentukan jodoh sendiri atau jodoh orang lain? Kita boleh mendoakan perkara baik-baik, namun akhirnya Tuhan juga menentukan,” jelasnya pada perlawanan Pickleball The Power Play 2025, di sini, semalam.
Ditanya sama ada adik kepada Heliza Helmi itu memiliki ciri wanita idamannya, Hariz menyifatkan semua lelaki pastu mengidamkan suri hati baik budi pekerti seperti regu lakonnya itu.
“Semestinya Hazwani ada ciri-ciri wanita idaman dan menepati kriteria seorang isteri. Namun saya percaya bukan saya seorang berfikir begitu.
“Mungkin selepas ini Hazwani digandingkan dengan hero lain dan mereka juga merasakan perkara sama. Keperibadiannya memang baik dan saya menghormati akhlaknya,” tegasnya.
Terdahulu, disebabkan keserasian dipamerkan dalam drama Iqbal, rata-rata peminat terus mengusik Hariz agar segera menghantar rombongan meminang Hazwani untuk dijadikan suri hatinya yang halal – KOSMO! ONLINE
The post Kita bukan penentu apa benar, salah – Hariz Hamdan appeared first on Kosmo Digital.