Auto Added by WPeMatico

![]()
LANGKAWI – “Kami sudah lali dengan persepsi negatif terhadap Bukit Malut. Pelbagai tuduhan dibuat sehinggakan kalau orang Rohingya mendarat di Langkawi, tempat kami yang akan jadi sasaran untuk dipersalahkan.”
Demikian kata Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Malut, Mohamad Fadzli Abdullah bagi menepis tanggapan yang dibuat sebilangan masyarakat terhadap mereka sejak sekian lama.
Dia juga menyangkal dakwaan kononnya terdapat 15,000 etnik Rohingya di situ selain menjadi lokasi pendaratan etnik tersebut.
“Kalau ada berita mengenai kemasukan pendatang asing tanpa izin, Bukit Malut terus menjadi sasaran sedangkan kawasan ini bukan lokasi yang mudah untuk pendaratan.
“Ini kerana pejabat penguat kuasa seperti Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia terletak dekat kawasan Bukit Malut. Kalau ada pergerakan yang mencurigakan, sudah tentu ia akan dikesan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, dakwaan kononnya orang ramai tidak dibenarkan memasuki Bukit Malut atau kawasan itu tidak selamat juga adalah tidak benar.
“Tiada sebarang halangan untuk memasuki Bukit Malut, malah tahap keselamatannya sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa dan persepsi negatif itu hanya terbentuk akibat maklumat yang tidak tepat,” ujarnya.
Menurutnya, walaupun persepsi tersebut pernah menyebabkan segelintir penduduk berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan kerana didakwa ada majikan yang enggan mengambil pekerja dari Bukit Malut, keadaan kini semakin bertambah baik.
Tambahnya, kira-kira 85 peratus penduduk di situ bekerja sebagai nelayan, manakala selebihnya mempunyai pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk peniaga, pengusaha kereta sewa, penjawat awam, anggota badan beruniform serta lepasan institusi pengajian tinggi.
Sementara itu, penduduk Bukit Malut, Hasanah Zakaria, 42, berkata, dia pernah terbaca komen-komen negatif tentang Bukit Malut di media sosial, namun suaminya meminta dia mengendahkannya.
“Saya rasa mereka kena masuk dahulu dan tengok sendiri kehidupan di Bukit Malut ini. Kami hidup seperti penduduk kampung lain, tidak ada jenayah yang membimbangkan.
“Rumah saya ini tidak pernah dipecah masuk. Tak perlulah takut nak jalan-jalan masuk tengok Bukit Malut, saya pernah terdengar orang kata kalau masuk Bukit Malut, tak akan dapat keluar lagi. Semua itu tidak benar,” katanya yang menetap di situ lebih 20 tahun.
Katanya, anak lelakinya kini belajar di sebuah sekolah berasrama di Langkawi dan mendapat keputusan cemerlang dalam subjek Matematik.
“Saya tidak nafikan anak ada rasa kurang selesa dengan tohmahan terhadap Bukit Malut ini, namun saya memintanya mengabaikan semua kata-kata itu dan fokus kepada pelajaran,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Jangan takut masuk Bukit Malut, kami sama seperti penduduk kampung lain’ appeared first on Kosmo Digital.
