Auto Added by WPeMatico

![]()
HULU TERENGGANU – Cubaan sebuah sindiket untuk menyeludup masuk lima pendatang asing termasuk tiga wanita warga Myanmar ke Terengganu berjaya digagalkan polis semalam.
Kereta jenis Honda Civic yang dipandu seorang lelaki yang juga warga Myanmar berjaya dipintas dan ditahan sepasukan polis di Kilometer 388.8, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini pada pukul 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab, berkata, pemeriksaan mendapati kesemua enam suspek berusia dalam lingkungan 22 hingga 35 tahun berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perjalanan yang sah.
“Siasatan awal mendapati kereta Honda Civic tersebut dipandu seorang lelaki Myanmar berusia 35 tahun yang disyaki dalang kes ini.
“Dia dipercayai menyewa kereta tersebut dari Selangor pada 1 November lalu untuk membawa lima rakan senegaranya memasuki Terengganu secara haram,” katanya di sini hari ini.
Sharudin berkata, berdasarkan soal-siasat awal, pemandu kereta Honda Civic terbabit mengaku membawa lima warga asing tersebut untuk memasuki Kuala Terengganu secara haram.
Beliau berkata, serbuan berkenaan turut berjaya merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan manusia terbabit.
“Siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kita sedang menjejak rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Myanmar cuba seludup masuk rakan senegara ke Terengganu appeared first on Kosmo Digital.