Auto Added by WPeMatico

![]()
LUMUT – Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.97 bilion bagi pelaksanaan penyelarasan pencen Fasa 2 yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesara terus terpelihara seiring dengan prinsip Kesejahteraan yang menjadi tunjang kepada nilai-nilai Malaysia Madani.
“Kerajaan amat menghargai sumbangan para pesara yang telah menabur bakti kepada negara.
“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa mengambil berat tentang kesejahteraan mereka, bukan sahaja dari segi keperluan ekonomi, tetapi juga kesejahteraan kesihatan dan hubungan sosial,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan ke kediaman pesara uzur di Seri Manjung di sini iaitu Toh Sakna Menteri Mohamed Zakaria Chu Osman, 85; isterinya, Zuwiyah Abd. Rahman, 81, dan pesara polis di Sitiawan iaitu Shafie Md. Rejab, 63.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan berkata, langkah pelarasan pencen itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menghargai khidmat bakti pesara, malah memberi kelegaan kewangan kepada hampir sejuta penerima pencen dan pencen terbitan di seluruh negara.
Beliau turut menegaskan bahawa pemerkasaan pesara memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak.
“Dalam hal ini, JPA terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bagi memastikan kesejahteraan pesara diuruskan secara holistik dan berterusan.
“Melalui sinergi ini, perkhidmatan seperti Kaunter MyPesara yang diperkenalkan sejak 2019 oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri terus menjadi platform penting dalam membantu pesara mengurus urusan berkaitan pencen, kad pesara, kemas kini maklumat serta memberi khidmat nasihat berkaitan hal ehwal persaraan,” katanya.
Wan Ahmad Dahlan berkata, inisiatif itu melengkapi pelbagai program yang dilaksanakan secara bersama oleh KWAP, termasuk Jelajah MyPesara.
Dalam pada itu, beliau turut berharap para pesara dapat mengurus kewangan dengan lebih berhemah serta berwaspada terhadap sebarang bentuk penipuan kewangan yang boleh menjejaskan simpanan persaraan mereka. – KOSMO! ONLINE
The post RM1.97 bilion dilabur kerajaan untuk pelarasan pencen Fasa 2 appeared first on Kosmo Digital.