Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menyuarakan penolakan tegas terhadap cadangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, sambil mengingatkan semua pihak agar tidak leka dengan agenda yang disifatkan berulang dan bermotifkan kuasa.
Ketuanya, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dalam satu kenyataan berkata, cadangan terbaharu itu dilihat sebagai kesinambungan kepada usaha sebelum ini termasuk cadangan berkaitan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) serta pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang telah ditentang dan digagalkan.
“Sebelum ini PSB, selepas itu pilihan raya PBT. Kali ini pula pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur. Mereka tetap mereka, kita jangan lalai,” katanya hari ini.
Dr. Muhamad Akmal menegaskan bahawa sebagaimana penolakan terhadap PSB dan pilihan raya PBT sebelum ini, pendirian yang sama perlu diambil oleh semua pihak bagi menolak cadangan pilihan raya Datuk bandar.
“Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan PSB dan pilihan raya PBT sebelum ini, begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan agar perbalahan dalaman tidak melemahkan kekuatan perjuangan.
“Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa.Mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE
The post Pemuda UMNO bantah pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur appeared first on Kosmo Digital.