Auto Added by WPeMatico

![]()
SEREMBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan akan melaksanakan pemeriksaan mengejut di sekolah berasrama yang dikenal pasti berisiko bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) bagi membendung gejala buli dan salah laku pelajar.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata langkah itu adalah antara tindakan segera yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
“Beberapa sekolah di negeri ini telahpun dikenal pasti dan ada antaranya mendapat permintaan daripada guru sekolah untuk dilakukan pemantauan awal. Pemeriksaan ini akan dilakukan secara mengejut dengan kerjasama pihak JPNS bagi memastikan pelbagai isu melibatkan pelajar dapat ditangani,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Perbincangan Townhall “Pendidik Ejen Pencegahan Jenayah Buli” Kontinjen Negeri Sembilan di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.
Pada masa sama, Alzafny menegaskan, tiada lagi ruang untuk mana-mana sekolah menyembunyikan kejadian buli dengan alasan menjaga reputasi.
“Semua pihak perlu berani dan telus. Setiap laporan akan disiasat secara menyeluruh bagi memastikan tiada lagi salah faham atau persepsi negatif terhadap sekolah mahupun PDRM,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan rekod PDRM, kes jenayah membabitkan pelajar di negeri ini meningkat 0.2 peratus berbanding tahun lalu, termasuk membabitkan kes buli, gangguan seksual dan ancaman fizikal.- KOSMO!ONLINE
The post Pemeriksaan mengejut bendung buli di sekolah appeared first on Kosmo Digital.