Auto Added by WPeMatico

![]()
TOKYO – Kerajaan Jepun merancang untuk merekrut pemburu bagi mengurangkan populasi beruang susulan kebimbangan meningkat berhubung kenaikan mendadak dalam serangan haiwan itu, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Kementerian Alam Sekitar berkata, ia akan memperuntukkan dana untuk mengupah pemburu berlesen dan kakitangan lain bagi menangani beruang yang berkeliaran di kawasan perumahan serta menyerang orang ramai.
Antara insiden yang berlaku termasuk membabitkan seorang penghantar surat khabar di Hokkaido dan seorang lelaki berusia 67 tahun yang ditemukan mati di taman rumahnya di Iwate.
Kerajaan yang menggambarkan beruang sebagai ancaman serius terhadap keselamatan awam, juga sedang mempertimbangkan untuk membenarkan anggota-anggota polis menembak haiwan itu menggunakan senjata api mereka.
Beruang di Jepun sebelum ini dilaporkan menceroboh masuk ke pasar raya dan sekolah serta menyerang penduduk ketika mereka menjalani rutin harian.
Seramai 12 orang maut akibat serangan beruang tahun ini, jumlah tertinggi yang direkodkan sejak negara itu mula mengumpul data kes tersebut pada tahun 2000-an.
Lebih 100 orang pula cedera termasuk sekurang-kurangnya seorang warga asing yang diserang berhampiran perhentian bas di sebuah kawasan pelancongan popular.
“Kehidupan dan mata pencarian rakyat kini terancam,” kata Menteri Pertahanan, Shinjiro Koizumi Selasa lalu seperti laporan agensi berita Kyodo.
Berdasarkan undang-undang semasa, tentera dilarang menembak beruang, namun mereka dibenarkan membantu pemburu dalam kerja-kerja menjerat dan mengangkut bangkai haiwan tersebut. – AGENSI
The post Jepun upah pemburu tembak beruang appeared first on Kosmo Digital.