Auto Added by WPeMatico
Kes saman syarikat barang kemas terhadap Rosmah diketahui 10 Jun

![]()
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 10 Jun ini bagi keputusan kes saman syarikat pemborong barang kemas di Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.
Hakim Datuk Quay Chew Soon menetapkan tarikh itu selepas saksi keenam bagi pihak ketiga yang mewakili kerajaan selesai memberi keterangannya.
“Pihak pihak perlu memfailkan hujahan bertulis pada 13 mei, manakala hujahan balas perlu difailkan pada 28 Mei. Mahkamah menetapkan 10 Jun ini,” kata Hakim Quay Soon.
Terdahulu saksi terakhir bagi pihak ketiga yang merupakan seorang kontraktor pengubahsuaian dalaman memberitahu mahkamah, dia ada melihat beberapa beg besar di unit kediaman mewah Pavilion Residence pada 14 Mei 2018.
Chong Tong Long, 53, berkata beg-beg besar itu dilihat di sebuah bilik bawah dalam unit kediaman itu.
“Apabila masuk ke dalam unit tersebut, saya melihat terdapat beberapa beg besar (luggage) di dalam sebuah bilik bawah dalam unit tersebut. Unit tersebut merupakan rumah dua tingkat yang mana sebelum ini, beg-beg tersebut tidak ada di situ.
“Melihat keadaan tersebut, saya terus keluar daripada unit tersebut dan terus ke parkir kerana bimbang jika ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Sebelum ini, mahkamah diberitahu pasukan polis menemukan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas melimpah keluar dari beg bagasi ketika serbuan di sebuah unit kediaman mewah di Pavilion Residence pada Mei 2018.
Bekas pegawai kanan polis Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata serbuan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dibuat kerana ketika itu ia dikaitkan dengan 1Malaysia Development Malaysia (IMDB) yang mana sebanyak 71 beg, satu kotak plastik dan 284 kotak telah ditemukan di kediaman mewah itu.
Menurutnya, semasa rampasan dibuat usaha untuk mengira setiap barang tidak dapat dilakukan kerana kandungan dalam beg terlalu padat dan tidak disusun dengan kemas.
Pada 2023, sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah bagi menuntut AS$14.57 juta (RM67.46 juta) atas dakwaan melanggar kontrak berhubung kehilangan 44 barang kemas kepunyaan syarikat itu yang diserahkan kepadanya.
Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Rosmah selaku defendan tunggal.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Global Royalty mendakwa Rosmah telah berbohong dalam afidavit dan pembelaannya dengan menyatakan bahawa 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepada defendan telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Menurut syarikat itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.
Bagaimanapun dalam usaha syarikat untuk mendapatkan semula 44 barang kemas daripada kerajaan, hanya satu daripada 44 barang kemas dapat dikenal pasti dan diambil semula oleh wakil yang dilantik oleh plaintif daripada kerajaan.
Global Royalty berkata adalah menjadi kewajipan defendan untuk menyimpan dan menjaga kesemua barang kemas itu dengan baik serta bertanggungjawab terhadap keselamatan barang kemas berkenaan.
Bagaimanapun plaintif mendakwa defendan telah memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.
Justeru syarikat itu memohon perintah mandatori supaya barangan kemas itu hendaklah dipulangkan kepada plaintif dalam keadaan baik bagi tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.
Sekiranya ia tidak dapat dikembalikan, defendan bertanggungjawab untuk membayar kepada plaintif kos barang kemas berjumlah RM67,461,027.37 bersamaan AS$14,567,270 selain memohon faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE
The post Kes saman syarikat barang kemas terhadap Rosmah diketahui 10 Jun appeared first on Kosmo Digital.
