Auto Added by WPeMatico

KLANG – Polis sedang menyiasat kejadian buli membabitkan pelajar perempuan dalam kawasan tandas sebuah sekolah di daerah ini selepas menerima laporan berhubung satu rakaman video yang tular di aplikasi Facebook kira-kira pukul 12.53 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, rakaman video itu menunjukkan insiden pergaduhan antara pelajar dari sekolah yang sama dan kes disiasat polis mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan.
“Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya hari ini.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi lebih dua minit yang memaparkan seorang pelajar perempuan dikelilingi sekumpulan pelajar lain dan dipukul pada badan serta ditampar tular di media sosial.
Tambah Vijaya, pihaknya memandang serius sebarang perlakuan buli apatah dalam kalangan pelajar sekolah dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Izroy Kamarulzaman di talian 014-818 3519 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar perempuan kena buli dalam tandas sekolah appeared first on Kosmo Digital.