Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Masa depan seorang pemuda berusia 22 tahun berakhir dalam sekelip mata apabila dia disyaki dibunuh dengan kejam dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Nanas, Pontian, Johor pada 21 Mei lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.55 pagi itu, mangsa, R. Arun Kumar, disahkan meninggal dunia selepas dipercayai dipukul sekumpulan individu yang dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap.
Lebih memilukan, pemuda itu menghidap penyakit jantung kongenital sejak kecil, namun tetap menjalani kehidupan dengan penuh kesabaran serta dikenali sebagai seorang yang baik hati dan tidak gemar mencari masalah.
Sepupu mangsa, K. Shantiya, 26, berkata, sehingga hari ini keluarganya masih sukar menerima pemergian mengejut Arun yang disifatkan sebagai seorang yang sentiasa mengutamakan keluarga.
“Sejak kecil dia seorang yang baik hati dan sederhana. Dia tidak pernah mencari masalah atau sengaja mencetuskan pergaduhan. Semua yang mengenalinya tahu dia sentiasa murah dengan senyuman dan lebih memilih untuk berdiam diri jika diperlakukan tidak adil.
“Dia paling tidak suka melihat pergaduhan, tetapi akhirnya dia sendiri menjadi mangsa keganasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, Arun pernah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala setiap tahun di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, menyebabkan dia tidak mampu bekerja seperti kebanyakan rakan seusianya.
Shantiya berkata, pada malam kejadian, keluarga langsung tidak mengetahui mangsa keluar ke Pontian kerana kebiasaannya dia akan memaklumkan terlebih dahulu setiap kali keluar rumah.
“Kami sangka dia akan pulang seperti biasa. Tiada siapa menyangka perjalanan keluar rumah pada malam itu menjadi kali terakhir kami melihatnya,” ujarnya.
Sementara itu, ibu saudara mangsa yang menjaganya sejak kecil, K. Devi, 52, berkata, Arun merupakan seorang yang menghormati orang lain dan sentiasa menjadi pendamai apabila berlaku perselisihan dalam keluarga.
Menurutnya, mangsa mempunyai minat dalam permainan Urumi sejak di bangku sekolah rendah, selain menyimpan impian membawa keluarga bercuti ke Indonesia serta membuka pusat mencuci kereta atau restoran.
Mengulas perkembangan siasatan, katanya, pihak keluarga merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas menahan tujuh suspek yang telah didakwa di mahkamah.
Bagaimanapun, Devi berkata, walaupun kes telah memasuki proses perundangan, masyarakat tidak seharusnya berhenti mengambil berat terhadap isu ini.
Jelasnya, mereka turut berharap agar kerajaan yang akan dibentuk sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak dapat menjadikan aspek keselamatan awam serta perlindungan nyawa rakyat sebagai agenda utama pentadbiran.
Tambahnya, keputusan keluarga tampil bersuara bukan sahaja untuk menuntut keadilan buat mangsa, namun berharap kes tersebut dapat membuka mata semua pihak terhadap isu keselamatan yang semakin membimbangkan.
“Hari ini, yang pergi ialah ahli keluarga kami. Kami harap, tidak akan ada lagi mana-mana keluarga yang terpaksa menanggung kesedihan yang sama seperti kami,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! Melaporkan tujuh individu berusia antara 18 hingga 28 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Tiga lagi suspek yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah. – KOSMO! ONLINE
The post Kes tetak Pekan Nanas: ‘Akhirnya dia sendiri jadi mangsa keganasan’ appeared first on Kosmo Digital.
