Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Seramai 108 warga Indonesia ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan penyeludupan migran dalam Op Pintas di dua lokasi berasingan kira-kira 0.3 batu nautika dari perairan Manjung dan kawasan Pantai Remis di Manjung, Perak semalam.
Mereka terdiri daripada lima lelaki yang dipercayai berperanan sebagai tekong, pembantu tekong dan penjaga pantai serta 103 migran termasuk bayi berusia lapan bulan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, lima suspek lelaki terlibat berusia antara 19 hingga 60 tahun.
Katanya, migran yang ditahan pula terdiri daripada 67 lelaki, 33 wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.
“Kesemua tangkapan terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Mereka dalam perjalanan masuk atau keluar melalui persisiran Pantai Manjung dengan menggunakan bot jenis ‘pom-pom’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, operasi dijalankan Bahagian D3 JSJ Bukit Aman bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran di perairan Manjung dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Balai Polis Pantai Remis dan Balai Polis Segari.
Beliau berkata, polis turut merampas 22 paket plastik disyaki syabu seberat kira-kira 5,800 gram yang ditemukan pada pakaian dan bagasi salah seorang suspek.
“Bayaran yang dikenakan bagi setiap migran antara RM800 hingga RM1,800 seorang yang dibayar secara tunai kepada transporter dan ejen,” katanya.
“Kesemua dibawa ke IPD Manjung untuk siasatan mengikut Seksyen 26A Akta AntiPemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN
The post 108 PATI Indonesia termasuk bayi ditahan di perairan Manjung appeared first on Utusan Malaysia.
