Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan kejadian dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis lemas ketika berkayak dekat Pantai Merdeka, Sungai Petani semalam.
KPM dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu kini dalam siasatan pihak berkuasa.
“Semua institusi pendidikan di bawah kelolaan KPM diingatkan untuk sentiasa memastikan penganjuran aktiviti luar mematuhi setiap SOP yang sedang berkuat kuasa dan keselamatan peserta diberi perhatian,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak kementerian sedang menguruskan bantuan segera kepada keluarga pelajar terlibat.
“Sokongan psikososial turut disediakan. Aspek kebajikan dan kesejahteraan diberi tumpuan, ” ujarnya.
KPM pada masa sama menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar IPG yang mengalami kemalangan sewaktu mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus pada semalam.
“Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya.
Kosmo! malam tadi melaporkan aktiviti berkayak sekumpulan pelajar sebuah institusi perguruan bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas di Pantai Merdeka, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam itu, mangsa iaitu masing-masing seorang pelajar lelaki dan perempuan berusia lingkungan 20-an dikatakan hilang selepas dipukul ombak.
Mereka dikatakan menyertai aktiviti itu bersama 33 lagi rakan lain. – KOSMO! ONLINE
The post KPM ucap takziah kes 2 pelajar IPG lemas, siasat pematuhan SOP appeared first on Kosmo Digital.
