Auto Added by WPeMatico

IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah melakukan rampasan menerusi Ops Tiris terhadap barangan seperti produk tiruan dan makanan yang menggunakan logo halal palsu bernilai RM3,225,186.49 setakat 31 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Negeri Perak, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, nilai denda yang direkodkan bagi tempoh sama pula adalah RM434,000, manakala sepanjang tahun lalu ialah RM850,883.
“Untuk makluman, nilai kompaun pada 2024 berjumlah RM358,200, manakala pada tahun ini (sehingga 31 Ogos 2025) sebanyak RM1,332,750. Berlaku peningkatan nilai kompaun sebanyak 272 peratus berbanding 2024 iaitu tiga kali ganda.
“Pada awal tahun ini bermula 1 Januari sehingga 31 Ogos 2025, KPDN Perak telah melaksanakan pemeriksaan ke atas 84,079 premis dan telah mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Ekshibit KPDN Perak di Chemor di sini.
Beliau berkata, sebanyak 941 kes telah diambil tindakan yang melibatkan pelbagai kesalahan, antaranya yang melibatkan rampasan barang kawalan diesel dan gas petroluem cecair (LPG) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Mohamad Kamarol berkata, KPDN hari ini melupuskan ekshibit bernilai RM1,256,483.79 di stor berkenaan.
“Ia melibatkan barangan seperti biskut yang menggunakan perihal halal palsu, sabun tiruan telefon bimbit dan aksesori tiruan. Selain itu terdapat juga pam minyak, hos, tangki intermediate bulk container (IBC) dan juga kenderaan.
“Kesemua barangan ini adalah melibatkan rampasan kes yang dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagang 2019,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Ops Tiris 3.0: Rampasan bernilai RM3.2 juta oleh KPDN Perak setakat Ogos appeared first on Kosmo Digital.