Auto Added by WPeMatico
Lawatan kerja PM ke Shanghai perkukuh momentum hubungan Malaysia-China

![]()
SHANGHAI: Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke kota metropolitan ini bermula esok sempena WorldSkills Shanghai 2026, amat signifikan dalam usaha meneruskan momentum hubungan erat antara Malaysia dan China.
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, berkata lawatan itu mencerminkan keakraban hubungan dua hala semakin berkembang, khususnya selepas Malaysia menerima beberapa lawatan rasmi daripada kepemimpinan tertinggi China dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan, lawatan dan pertukaran kunjungan membabitkan pemimpin tertinggi kedua-dua negara, termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memperlihatkan tahap hubungan kukuh antara Malaysia dan China.
“Kali ini, lawatan kerja Perdana Menteri bukan sahaja memberi tumpuan kepada bidang tradisional dalam hubungan dua hala, malah membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang baharu mempunyai kepentingan strategik kepada kedua-dua negara.
“Hubungan Malaysia-China sebelum ini banyak dipacu menerusi kerjasama politik, perdagangan dan pelaburan.
“Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia di bawah kepemimpinan Perdana Menteri memberi penekanan lebih luas terhadap kerjasama dalam bidang seperti pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI),” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Ini adalah lawatan keempat Anwar ke China sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.
Norman berkata, Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis perasmian WorldSkills Competition 2026 ke-46, menyampaikan ucaptama pada Sesi Plenari Pembukaan Persidangan Worldskills Shanghai 2026 dan mengadakan perjumpaan bersama syarikat perniagaan serta sesi meja bulat dengan kapten industri di Shanghai.
Beliau berkata, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta pegawai kanan kerajaan.
“Anwar juga dijadual menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (DGTE) Kelima di Hangzhou pada Khamis dan akan menyampaikan ucaptama serta hadir ke majlis pelancaran buku ‘Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times’ diterjemah ke bahasa Mandarin,” katanya.
Beliau berkata, kemuncak lawatan kerja Perdana Menteri ialah mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri China, Li Qiang, di West Lake State Guest House, Hangzhou, disusuli menghadiri Majlis Makan Malam dihoskan Qiang.
“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan beberapa perkara seperti memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif, sejajar dengan aspirasi membina Komuniti Strategik Malaysia-China Bertaraf Tinggi dengan Masa Depan Bersama, inisiatif Presiden Xi Jinping termasuk Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dan Inisiatif Ketamadunan Global (GCI).
“Ia termasuk cadangan projek penyambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, yang bakal memberi manfaat besar dari segi kesalinghubungan dan pembangunan ekonomi, menaik taraf projek ‘Dua Negara, Taman Berkembar’ susulan pemeteraian Memorandum persefahaman (MoU) pada 17 April 2025,” katanya.
Norman berkata, perbincangan turut menyentuh perkongsian teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau, semikonduktor dan ekonomi digital dan lawatan Perdana Menteri ke Shenzhen bersempena Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen pada November depan.
Katanya, dalam isu serantau dan antarabangsa, dua pemimpin dijangka membincangkan penyertaan Malaysia sebagai negara anggota pengasas Pertubuhan Kerjasama AI Sedunia (WAICO), sokongan terhadap inisiatif global dipelopori oleh China termasuk Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global, Inisiatif Ketamadunan Global dan Inisiatif Tadbir Urus Global.
“Ia termasuk penyertaan Malaysia sebagai negara anggota pengasas Perikatan Antarabangsa Dalam Membanteras Penipuan Telekomunikasi dan Siber bagi berkongsi pengalaman dan amalan terbaik menangani isu keselamatan antarabangsa, khususnya membanteras jenayah rentas sempadan serta jenayah siber serta pembabitan Malaysia dalam BRICS dan hasil Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi, India,” katanya.
Sementara itu, penyertaan Malaysia di dalam Worldskills Shanghai 2026 adalah sebahagian daripada pengisian inisiatif terbabit, selain meneruskan momentum perdagangan dua hala berjumlah RM456.68 billion (AS$113.82 billion) dari Januari hingga Ogos lalu memandangkan China adalah rakan dagang terbesar Malaysia bagi 17 tahun berturut-turut.
The post Lawatan kerja PM ke Shanghai perkukuh momentum hubungan Malaysia-China appeared first on Utusan Malaysia.
