Auto Added by WPeMatico

SUKA atau tidak, realiti dunia lakonan tempatan masih mengutamakan seseorang itu mesti cantik atau kacak, sementelah bakat jatuh ke nombor dua andai ingin menghiasi televisyen mahupun layar perak.
Seumpama ‘open secret’, syarat sebegitu adakala mematikan jiwa segelintir penggiat seni yang bertahun-tahun berusaha membuktikan kemampuan hanya disebabkan tiada ‘tiket’ fizikal
Sungguh, lanskap sebegitulah yang harus ditelan aktor versatil Amerul Affendi. Skeptikal bukan wajah pelaris adalah makanan buatnya. Namun, sudah tertulis namanya anak seni, dia menolak stereotaip kuno, tanpa paras tipikal seorang hero pun, dia membuktikan bakat sebagai senjata utama untuk kekal relevan dalam industri.

– AMIR KHALID
Wajah tidak ‘seberapa’
Menurut pemilik nama lengkap Mohd. Amerul Affendi Mohd. Mawardi itu, tanggapan tersebut juga sudah lali baginya terutama pada awal kemunculan apabila ada pihak mempersoalkan kemampuan sebagai pelakon gara-gara wajah tidak ‘seberapa’.
“Dahulu orang pandang dan cakap, ‘eh siapa mamat ni? muka macam ni pun boleh jadi pelakon?. Semua ini berlaku sebab penonton kita sudah biasa dengan stereotaip rupa paras tertentu untuk watak hero.
“Tapi alhamdulillah, bila orang industri nampak bakat dan cara saya bawa sesuatu karakter, penerimaan penonton itu datang sedikit demi sedikit.
“Cuma kita kena buktikanlah kemampuan. Cabar diri ambil apa juga watak. Saya bukan jenis memilih, tak kisah besar atau kecil, setiap karakter punya jiwa sendiri,” katanya kepada HibGlam.
Bermula dengan teater ketika zaman pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), laluan yang didepani dalam arena seni sebenar tidak semudah disangkakan.
Awalnya, anak jati Temerloh, Pahang itu menyangka bidang tersebut mampu menjamin masa depan, namun realitinya dia terpaksa beralih ke lakonan di depan kamera demi kelangsungan hidup.
“Perjalanan saya panjang, daripada zaman habis belajar di Aswara. Saya ‘batch’ sekali dengan Zahiril Adzim tahun 2008. Waktu itu saya yakin boleh ‘survive’ boleh ada duit dengan berteater.
“Sebenarnya tidak. Teater benda yang lagi susah kita cari makan. Bila di luar saya berhadapan realiti berbeza. Saya kena cari benda lain, pergi ke depan kamera. Di situ rupa-rupanya baru boleh stabil, boleh bayar sewa, boleh makan.

Susah cari makan
“Ketika itu pula tiada lagi media sosial macam TikTok untuk tunjuk bakat. Saya pula kurang pergi uji bakat. Apa saya buat adalah berlakon banyak teater.
“Saya kena pastikan produser, pengarah datang tengok persembahan baru mereka panggil berlakon,” ujarnya.
Rancak berbual mengenang kisah lampau, sesekali Amerul terdiam barangkali mahu mengingati semula langkahnya sebaik menamatkan pengajian teater.
Kata Amerul, fasa kebangkitan media sosial mencetuskan budaya baharu terutama terhadap stesen yang meletakkan jumlah pengikut sebagai syarat.
“Ada rasa sedikit putus asa apabila stesen meletakkan syarat jumlah pengikut untuk nak dapat slot berlakon.
“Benda-benda itu yang buat saya rasa ‘eh kenapa orang tak tengok bakat, kenapa itu yang diutamakan?’. Tapi kita tetap buat juga sebab ini benda yang kita suka,” katanya.
Situasi sekali lagi berubah. Lantaran kecewa, seni tidak boleh lagi menjadi pencarian utama ditukar menjadi hobi. Kerjayanya pula adalah pertanian dan penternakan.
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM27) mula balik kampung dan mengusahakan pertanian dan ladang ternakan sejak 2015.
Dia tidak kisah berpanas dan berselut sebaik menceburi pertanian moden mengusahaan tanaman dan sayur-sayuran seperti timun, terung dan cili untuk pasaran tempatan.
“Semuanya sudah autopilot. Sekarang saya kira boslah. Ladang dibantu pak cik bersama empat pekerja. Saya mula dari 2015. Ada juga patin sangkar, tapi tutup sebab banjir dan kenaikan harga makanan ikan.
“Sekarang saya bela kerbau. Ada 19 ekor. Saya jual untuk kenduri dan raya korban,” tambahnya.
Dalam perkembangan terbaharu, Amerul kini tampil dalam filem komedi berjudul Libang Libu arahan sahabat lamanya Bobby Husaini, yang asalnya aktif sebagai pembikin filem iklan.
“Ini kali pertama saya bawa dialek Perak. Nasib baik loghat Perak dan Pahang ada persamaan dari segi lenggok, cuma berbeza pada beberapa perkataan.
“Sepanjang penggambaran di Perak Tengah, saya banyak belajar, mendengar sendiri percakapan orang tempatan di kedai makan dan pasar,” ujarnya.
Dalam Libang Libu, dia membawakan watak Man Pilam, anak jati Perak yang pulang ke kampung selepas bekerja sebagai pengurus produksi di Kuala Lumpur.
Kepulangannya mencetuskan kekecohan dalam kalangan penduduk kampung disebabkan perangai lama sehingga menjadikan suasana ‘libang libu’ atau gundah-gulana.
“Semua yang berlakon dalam filem ini merupakan mereka yang pernah bekerja dengan Bobby dalam iklan arahannya.
“Naskhah ini juga menampilkan ramai kawan baik saya termasuk Beto Kusyairy dan Zahiril Adzim.
“Memang kecoh, kiranya kalau nak tengok macam mana perangai kami dalam Libang Libu, ikuti tayangannya pada 23 April ini,” ujarnya menutup bicara.

The post ‘Orang cakap, muka macam ni pun boleh jadi pelakon’ appeared first on Kosmo Digital.
