Auto Added by WPeMatico

ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperluaskan program MyLesen B2 dalam kalangan pelajar sekolah berusia 16 tahun ke atas.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya tidak menafikan tindakan ibu bapa membenarkan anak-anak mereka menunggang motosikal ke sekolah tanpa lesen masih berleluasa.
“JPJ dan Kementerian Pendidikan dalam penelitian untuk memperluaskan MyLesen B2 ini ke peringkat sekolah tahun depan. Melalui maklum balas yang kita terima daripada pihak sekolah memang banyak anak-anak yang pergi ke sekolah menunggang motosikal tanpa lesen.
“Saya tahu ibu bapa ada kekangan tetapi ini adalah satu tindakan yang tidak mengikut peraturan jika terjadi sesuatu, kesalahan itu akan kembali kepada mereka.
“Jadi ini satu alasan kita ingin memperluaskan program ini ke sekolah dan tahun depan kita sasarkan untuk buka lebih banyak tempat kepada pelajar sekolah terutama yang tidak berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu (Program MyLesen B2 Peringkat Kedah di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Kedah di sini semalam.
Sebanyak 1,200 peserta di Kedah menyertai program tersebut untuk fasa pertama 2025 ini memperoleh lesen motosikal B2 masing-masing.
Sehubungan itu, kata Aedy Fadly, pihaknya berharap kerajaan akan menambah kuota program tersebut pada tahun depan ekoran sambutan yang sangat menggalakkan ketika ini.
“Program ini mendapat sambutan tinggi di seluruh negara. Contohnya di Kedah sahaja, hampir 6,000 permohonan diterima, sedangkan kuota hanya 1,200 peserta. Untuk fasa dua ini, kita tambah 650 lagi peserta.
“Kalau kita ada kuota yang lebih, kita dapat bantu lebih ramai rakyat Malaysia, termasuk pelajar sekolah, untuk mendapatkan lesen motosikal ini secara percuma,” katanya.
Katanya, bagi tahun ini sebanyak 15,000 peserta MyLesen B2 untuk fasa pertama berjaya memperoleh lesen masing-masing.
“Sementara bagi fasa kedua yang melibatkan kuota tambahan 10,000 permohonan akan dibuka selepas Oktober nanti yang sudah diagihkan kepada JPJ setiap negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post MyLesen diperluas ke sekolah appeared first on Kosmo Digital.