Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Lima lagi pegawai Jabatan Imigresen (JIM) ditahan selepas disyaki bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs), semalam.
Mereka ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Crack ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 1 petang.
Sumber berkata, semua suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an.
“Siasatan awal mendapati kesemua pegawai ini disyaki bersubahat menggodam MyIMMs di samping membantu dalam proses mendapatkan kelulusan PLKS tanpa mengikut prosedur yang sah. Susulan tangkapan itu SPRM telah menyita lima unit telefon bimbit milik kelima-lima suspek,” katanya.
Setakat ini, sumber berkata, seramai 17 individu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, SPRM juga telah mengambil tindakan membekukan sembilan akaun perbankan, empat milik individu dan dua milik syarikat melibatkan nilai kira-kira RM300,000.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan 16 (a) Akta SPRM 2009.
Katanya, permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.
Sebelum ini, SPRM menahan reman 12 individu termasuk enam pegawai JIM kerana disyaki bersubahat menggodam MyIMMs bagi mendapatkan kelulusan PLKS secara tidak sah.
Terdahulu media melaporkan, JIM akan membatalkan semua 1,306 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan secara tidak sah susulan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, semua PLKS yang diluluskan secara tidak sah itu tidak memberi hasil kepada kerajaan dan tindakan pembatalan akan dilaksanakan serta-merta. – KOSMO! ONLINE
The post Godam sistem imigresen: 5 lagi pegawai JIM ditahan appeared first on Kosmo Digital.
