Auto Added by WPeMatico

KEMENANGAN Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas Selangor FC pada perlawanan Piala Sumbangsih kelmarin seakan amaran awal bahawa juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu mahu kekal mendominasi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Jurulatih JDT, Xisco Munoz dilihat ‘lulus’ ujian pertamanya apabila berjaya mengemudi pasukan merangkul piala pertama yang menjadi taruhan musim ini sekali gus memastikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah terus dalam dakapan JDT sejak 2018.
Masih terlalu awal untuk mengukur keupayaan pengendali kelahiran Sepanyol itu, namun ia adalah satu permulaan yang baik apabila berjaya menewaskan seteru utama dengan kemenangan selesa.
Munoz, 44, berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak buahnya, namun enggan dibuai kemenangan itu apabila menganggap kariernya bersama skuad Harimau Selatan baru bermula.
“Pemain bijak menghidu peluang gol setelah berjaya mencipta jaringan seawal minit pertama, ia memberi keyakinan buat pemain untuk menguasai permainan dan memaksa lawan bermain corak bertahan.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan semua pemain termasuk yang membuat penampilan sulung dalam aksi pembukaan ini,” katanya.
Selain itu, katanya, JDT yang berwajah baharu itu dengan kemasukan lapan pemain baharu masih perlukan masa untuk membentuk keserasian dengan pemain lama dan dapat menyerap taktikal yang ditekankan.
“Bagi meningkatkan permainan, kita perlu perhalusi setiap aspek tanpa terburu-buru, jadi kita perlu ada cara untuk mencungkil kelebihan setiap pemain dan mampu beraksi di tahap lebih tinggi dan kompetitif.
“Pemain yang dibawa masuk ini masing-masing berpengalaman luas, jadi tidak sukar untuk mereka menyesuaikan diri dan membentuk keserasian,” ujarnya.
The post Penguasaan JDT tidak terusik appeared first on Kosmo Digital.