Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – TCL, kumpulan industri teknologi global dengan pendapatan tahunan melebihi 356 bilion yuan (RM206 bilion) memperkenalkan teknologi proprietari sulungnya, SQD-Mini LED (Super Quantum Dot Mini Light-Emitting Diode) serta portfolio penuh produk rumah pintar 2026 untuk pasaran tempatan.
Pelancaran ini adalah sebahagian daripada strategi TCL untuk mengukuhkan kedudukan dalam segmen pertengahan hingga premium di negara ini.
Diiktiraf sebagai jenama televisyen dipercayai dan bereputasi tinggi, TCL telah berkembang menjadi antara pengeluar televisyen terkemuka dunia, dengan penghantaran lebih 30 juta unit di peringkat global tahun lalu.
Ia dianggarkan menguasai 50 peratus pasaran Mini LED global.
Pengarah Urusan TCL Malaysia, Carolyn Qiu berkata, Malaysia adalah pasaran pertumbuhan strategik bagi pengembangan ekosistem internet semua benda (IoT) pintar Kumpulan.

“Dengan teknologi SQD-Mini LED, kami bukan sekadar melancarkan produk, malah menetapkan penanda aras baharu bagi teknologi paparan dalam segmen premium.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran Mini-LED telah berkembang pesat dan kadar pertumbuhannya telah mengatasi OLED (Organic Light-Emitting Diode), menjadikannya teknologi pilihan untuk televisyen flagship di seluruh dunia.
“Kedudukan perintis dan kepimpinan TCL dalam Mini-LED bukan sahaja mencerminkan pilihan pasaran, tetapi juga kekuatan teknologi,” katanya pada majlis pelancaran rangkaian produk tersebut di sini baru-baru ini.
Selain siri produk televisyen Mini LED, TCL turut memperkenalkan siri penyaman udara VoxIN dengan teknologi penjimatan tenaga pintar, yang mampu menjimatkan sehingga 37 peratus tenaga berbanding model konvensional.
Turut diperkenalkan portfolio peralatan rumah TCL seperti peti sejuk dan mesin basuh.
“Produk TCL 2026 selari dengan strategi global kami iaitu memacu penembusan segmen pertengahan hingga premium, memanfaatkan kedudukan kami sebagai rakan global Sukan Olimpik Musim Panas Los Angeles 2028 untuk meningkatkan jenama, selain memberikan nilai nyata melalui kecekapan tenaga dan integrasi ekosistem,” tambah Carolyn.
Sepanjang lima tahun lalu, melalui dua kumpulan industrinya iaitu TCL Industries dan TCL Technology, hasil TCL merekodkan kadar pertumbuhan tahunan purata 16.5 peratus, dengan hasil luar negara berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan purata 18.3 peratus. -KOSMO! ONLINE
The post TCL mahu perkukuh segmen pertengahan hingga premium appeared first on Kosmo Digital.
