Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – “Jika anak kita jatuh tujuh kali, dia harus bangkit lapan kali.”
Itu semangat yang dikongsi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyentuh mengenai perjalanan beliau membesarkan anak kelimanya yang mempunyai autistik ringan (mild autism).
Dalam satu hantaran di Facebooknya Fadhlina berkata, beliau melalui fasa penafian sebelum akhirnya menerima dan meraikan keistimewaan anaknya, Anwar.
“Biarpun lewat didiagnosis, saya reda dan terus mengatur perjalanan anak ini dengan cukup optimis.
“Sedaya upaya peluang diberikan agar dia tidak terasa jauh dan tersinggung kerana keadaan dirinya,” katanya.
Beliau berkata, keadaan anaknya semakin baik selepas menerima intervensi daripada guru pendidikan khas, selain tumpuan diberikan kepada kelebihan luar biasa yang dimiliki.
“Anak saya ini obses dengan bendera dunia dan filem Mamat Khalid.
“Kerana spektrum autismenya itu, maka kami perhatikan dia mempunyai ketelitian dalam aspek yang memerlukan perincian. Baik filem, lagu mahupun menyusun pensel warna mengikut tona warna serta kereta permainannya yang berbaris lurus,” katanya.
Beliau turut mengakui kadangkala timbul kerisauan memikirkan masa depan anaknya apabila beliau tiada nanti.
Namun, beliau tetap optimis terhadap komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan khas diberi perhatian sewajarnya, termasuk saringan awal, intervensi dan prasarana yang lebih baik.
“Memperjuangkan isu hak anak-anak berkeperluan khas adalah agenda besar pendidikan negara.
“Kepada semua ibu yang mempunyai anak seperti Anwar, saya sentiasa ada untuk ibu-ibu semua. ‘I love you okay? And hugssss!’,” katanya.
Sementara itu katanya, ini perjuangan besar yang mesti terus diperkukuhkan di peringkat dasar pendidikan dan advokasi secara keseluruhan dalam masyarakat. – KOSMO! ONLINE
The post Anak autistik saya obses bendera dunia, filem Mamat Khalid – Fadhlina appeared first on Kosmo Digital.