Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Coretan pada sekeping kad seni daripada seorang remaja penghidap penyakit jarang jumpa menyentuh hati Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika Sambutan Hari Penyakit Jarang Jumpa di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Menerusi hantaran di media sosialnya, Dr. Dzulkefly berkongsi kisah Branden Lim, 15, yang didiagnosis dengan atrofi otot spina tahap 1 seawal usia setahun, namun berjaya bangkit meneruskan kehidupan hasil sokongan keluarga serta akses kepada rawatan.
Menurut beliau, di sebalik keindahan karya seni yang dihasilkan Branden, tersimpan sebuah perjuangan luar biasa yang menjadi simbol harapan kepada pesakit penyakit jarang jumpa di negara ini.
“Pada usia 10 tahun, Branden mendapat akses rawatan yang memberi beliau ‘peluang kedua’ untuk terus berkarya. Kini pada usia 15 tahun, beliau menggunakan kreativiti untuk bercerita kepada dunia,” katanya.
Dr. Dzulkefly turut memuji kecekalan ibu bapa Branden, Edmund dan Sook Yee yang tidak pernah berputus asa, malah mengasaskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) WeCareJourney (SMACare) bagi membantu keluarga lain yang menghadapi cabaran sama.
Beliau berkata, melihat perkembangan Branden hari ini menguatkan lagi azam Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memperjuangkan nasib pesakit penyakit jarang jumpa.
“Rawatan bukan sekadar ubat-ubatan, tetapi tentang memberi masa depan, harapan dan peluang untuk anak-anak seperti Branden mengejar impian mereka,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas hadiah karya seni yang diterima daripada Branden dengan menyifatkan remaja itu sebagai inspirasi kepada dirinya dan seluruh warga KKM.
“Terima kasih Branden atas hadiah karya seni ini. Awak adalah inspirasi buat saya dan seluruh warga KKM,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Terima kasih Branden, awak inspirasi warga KKM’ appeared first on Kosmo Digital.