Auto Added by WPeMatico

![]()
PORT DICKSON – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi antara 72 hingga 75 peratus pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu ini susulan suasana kempen yang disifatkan semakin sengit.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan pemerhatian terhadap sambutan penyokong sepanjang tempoh berkempen yang dijangka mampu mendorong lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab.
“Kita berdasarkan kepada suasana berkempen yang sengit di Negeri Sembilan ini dan percaya penyokong akan ramai keluar mengundi. Kita menjangkakan kadar keluar mengundi sekitar 72 hingga 75 peratus.
“Insya-Allah kita sama-sama berdoa dan berharap supaya semua pengundi dapat keluar mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.
Terdahulu, Ramlan memaklumkan proses pengundian awal yang berlangsung hari ini berjalan lancar dengan melibatkan 38 pusat mengundi awal dan 70 saluran di seluruh Negeri Sembilan.
Menurutnya, seramai 16,467 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis layak mengundi secara fizikal selepas mengambil kira pengundi pos di mana bagi tentera sebanyak 5,591 adalah pengundi pos dan polis 281 undi pos.
Sehingga pukul 10 pagi tadi, kadar keluar mengundi awal direkodkan sebanyak 34.26 peratus dan SPR menjangkakan peratusan itu mampu melepasi 90 peratus menjelang pusat pengundian ditutup petang ini.
Beliau berkata, sasaran itu realistik walaupun terdapat beberapa faktor seperti perubahan status pasangan anggota keselamatan yang menyebabkan kadar keluar mengundi sukar mencapai 100 peratus. – KOSMO! ONLINE
The post SPR jangka 75 peratus keluar mengundi Sabtu ini appeared first on Kosmo Digital.
