Auto Added by WPeMatico

![]()
SAYA terpanggil untuk menegur sikap pemimpin sebuah parti yang menggunakan nama Islam. Mereka kerap mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan bukti yang boleh dipertahankan, asalkan ia memburukkan pihak lawan. Mereka lupa peringatan Allah SWT dalam surah Al- Hujurat ayat 6 yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Seterusnya Allah SWT memperingatkan supaya tidak-tergesa-gesa mempercayai atau membicarakan apa yang tidak diketahui melalui Surah Al-Isra’, ayat 36, bahawa pendengaran, penglihatan, dan hati akan dipertanggungjawabkan di akhirat.
Tidak cukup dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap sebagai fitnah, mereka turut memaki hamun, mendoakan keburukan sesama Islam, semata-mata kerana perbezaan fahaman dan pandangan.
Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud R.A., Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Bukanlah seorang mukmin itu yang suka mencela, bukan juga yang suka melaknat, bukan juga yang keji (perkataannya), dan bukan juga yang kotor (mulutnya).” (Riwayat al-Tirmizi)
Rasulullah SAW turut melarang memaki sesama Islam seperti yang dinyatakan dalam hadith daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, yang bermaksud: “Memaki orang Islam adalah suatu kefasiqan, dan memeranginya adalah suatu kekufuran.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Saya percaya, pemimpin-pemimpin parti tersebut lebih memahami ayat-ayat al-Quran dan hadis, tetapi tidak menjadikannya sebagai panduan dalam berpolitik yang kononnya berteraskan Islam.
Saya turut difahamkan, mereka kadangkala mentafsir sesuatu ayat al-Quran mengikut selera mereka bagi menyokong kefahaman yang dipegang. Perkara ini saya serahkan kepada Allah SWT yang lebih mengetahui.
Tindakan mereka mengeluarkan kenyataan tanpa fakta dan bukti, memaki hamun sesama Islam, tidak menunjukkan rasa hormat kepada pemimpin yang seagama, mentafsir ayat al-Quran untuk kepentingan parti, telah mencemarkan kesucian agama yang kononnya diperjuangkan.
Mereka turut memperbodohkan bangsanya sendiri semata-mata untuk memancing undi. Menjaja berita palsu dan menyalahgunakan ayat al-Quran untuk meraih sokongan orang Melayu.
Cukup-cukuplah menjual agama dan memperbodohkan bangsa sendiri semata-mata untuk kerusi yang hanya gah di dunia belum tentu gah di akhirat.
Tuan-tuan sepatutnya mengislamkan politik, berpolitik secara berhikmah dan bertanggungjawab mengikut lunas agama, bukan menggunakan agama untuk politik. – UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Kg Melayu Subang
The post Jangan gadai maruah agama untuk pancing undi appeared first on Utusan Malaysia.
