Auto Added by WPeMatico

GURUN – Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki, bulan lalu.
Tertuduh, Azhar Mat Saini, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Anis Suraya Ahmad.
Dia yang memakai baju warna kelabu dan memakai pelitup muka dilihat menundukkan muka sepanjang berada di kandang tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, Azhar didakwa memandu kereta dengan cara yang mungkin boleh membahayakan orang awam setelah mengambil perhatian segala hal termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta kesesakan lalu lintas.
Perbuatan tertuduh itu didakwa menyebabkan kematian penunggang motosikal, Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16.
Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Pekan Guar Chempedak di daerah Yan kira-kira pukul 9 malam, 28 Julai lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya mencadangkan jaminan sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin.
Walau bagaimanapun peguam, S. Parameswaran mewakili tertuduh memohon jaminan yang rendah dan memaklumkan anak guamnya itu mempunyai empat anak berusia 11 hingga 18 tahun termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal, manakala isterinya seorang guru.
Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai. Dia membayar jaminan dikenakan.
Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 29 September depan.
Kosmo! pada 1 Ogos lalu melaporkan seorang remaja lelaki yang terlibat nahas jalan raya pada Isnin lalu dilaporkan meninggal dunia selepas tiga hari bertarung nyawa di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. – KOSMO! ONLINE
The post Koperal polis dituduh memandu berbahaya, sebabkan kematian remaja appeared first on Kosmo Digital.