Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kanak-kanak perempuan yang diasuh ibunya, tahun lalu.
Tertuduh, Musizzuddin Mohamad, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal dengan meraba mangsa yang berusia 11 tahun ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 7 pagi di sebuah rumah di Tanjung Kling, di sini pada penghujung Februari tahun lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd. Rodzlad mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan.
Beliau turut memohon agar syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.
Tertuduh yang diwakili Peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan terhadap anak guamnya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Haderiah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.
Beliau turut menetapkan tarikh 9 Jun ini sebagai sebutan semula kes.
Kosmo! pada 28 April lalu melaporkan seorang mekanik direman tujuh hari selepas disyaki telah mencabul seorang kanak-kanak diasuh ibunya selama tiga tahun, sejak mangsa berusia tujuh tahun.
Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas mangsa mengadu mengenai perbuatan suspek kepada guru sekolahnya. – KOSMO! ONLINE
The post Mekanik didakwa cabul anak asuhan ibu appeared first on Kosmo Digital.