Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Maxxan Realty mencipta lakaran sejarah tersendiri apabila diiktiraf secara rasmi oleh The Asia Records menerusi gelaran Agensi Ejen Perunding Hartanah (REN) Bumiputera Terbesar bagi Tahun 2025.
Pencapaian luar biasa itu mencerminkan pertumbuhan pesat, kepimpinan berpandangan jauh, dan komitmen berterusan syarikat berkenaan dalam membangunkan rangkaian perunding hartanah (REN) bumiputera terbesar di Malaysia sekali gus memberi sumbangan signifikan kepada industri hartanah negara.
Pengiktirafan sebagai agensi REN bumiputera terbesar bagi tahun 2025 ini secara tidak langsung mengesahkan komitmen jangka panjang syarikat dalam mewujudkan peluang kerjaya mampan serta memupuk kecemerlangan sektor hartanah tempatan.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan Maxxan Realty, Sam Jee Yik Seng berkata, anugerah itu adalah satu pencapaian membanggakan buat seluruh warga kerja syarikat.
“Pencapaian daripada The Asia Records ini adalah hasil dedikasi, kecekalan, dan profesionalisme para ejen perunding hartanah, barisan pemimpin, serta pasukan sokongan kami.

“Anugerah ini bukan sekadar mengenai saiz rangkaian kami semata-mata, sebaliknya melambangkan kepercayaan yang telah dibina dan komitmen kami untuk terus memperkasakan lebih ramai profesional Bumiputera membina kerjaya berjaya dalam industri ini,” katanya dalam kenyataan.
Majlis penyampaian anugerah rasmi The Asia Records itu telah berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini dengan menyaksikan kehadiran lebih daripada 1,000 tetamu termasuk tokoh korporat, pemimipin perniagaan, usahawan, profesional hartanah, rakan strategik dan tetamu kehormat bagi merayakan kejayaan serta inovasi dalam industri hartanah tanah air.
Ditubuhkan pada tahun 2017, Maxxan Realty kini berkembang menjadi antara agensi hartanah terkemuka yang mana ia berpandukan visi untuk membuka peluang perniagaan kepada profesional hartanah serta menyediakan penyelesaian komprehensif.
Syarikat kini berjaya meluaskan rangkaian cawangannya ke seluruh negara.
Selain memudah cara transaksi hartanah, Maxxan Realty turut membina ekosistem dinamik yang memperkasakan profesional hartanah Bumiputera menerusi program latihan berstruktur, bimbingan (mentorship), pembangunan kepimpinan, dan inovasi digital.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelanggan dan rakan perniagaan atas sokongan padu yang diberikan, selain berikrar untuk terus meningkatkan piawaian industri serta memberikan nilai tambah kepada sektor hartanah Malaysia.
Langkah ini selari dengan usaha berterusan Maxxan Realty untuk meluaskan pasaran di peringkat nasional dan memupuk bakat baharu bagi merangka masa depan industri hartanah negara yang lebih inklusif dan profesional.-KOSMO! ONLINE
The post Maxxan Realty diiktiraf agensi perunding hartanah bumiputera terbesar appeared first on Kosmo Digital.
