Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didalangi ‘Mat Sero’ tumpas selepas Jabatan Imigresen (JIM) melancarkan operasi khas di sekitar Kota Bharu, di sini semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata serbuan di kawasan tempat letak kenderaan awam berjaya menahan lapan buah kenderaan dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI.
Kataya, operasi yang bermula pukul 5.52 pagi itu melibatkan 20 pegawai Pasukan Taktikal Khas (Pastak), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta JIM Kelantan hasil risikan selama tiga bulan.
“Tiga lelaki warga tempatan termasuk Mat Sero dan seorang lelaki warga Myanmar yang berperanan sebagai transporter ditahan.
“Turut ditahan, 35 warga Myanmar terdiri daripada 22 lelaki, 12 perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima hingga 45 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kumpulan transporter bertindak agresif dengan memecut laju dan merempuh beberapa kenderaan termasuk milik pasukan operasi sebelum mereka berjaya dipintas.
Katanya, beberapa warga asing turut cuba bersembunyi di dalam semak berhampiran tetapi berjaya ditemui.
“Siasatan mendapati sindiket membawa masuk PATI melalui laluan tikus di sempadan Kelantan sebelum diserahkan kepada transporter tempatan untuk dihantar ke lokasi tertentu di Lembah Klang. Setiap PATI dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM500. Sindiket ini dipercayai aktif hampir setiap minggu sejak enam bulan lalu,” katanya.
Turut disita, tiga telefon bimbit serta lapan kenderaan pelbagai jenis termasuk Mitsubishi Triton, Toyota Cross, Toyota Innova, Toyota Rush, Isuzu D-Max, Nissan X-Trail, Toyota Voxy dan Proton X90.
Ujarnya, JIM akan memburu saki-baki sindiket kerana mengancam keselamatan dan kedaulatan negara serta bertindak tegas tanpa sebarang kompromi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007, manakala 35 warga asing ditahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket seludup PATI ‘Mat Sero’ lumpuh appeared first on Kosmo Digital.