Auto Added by WPeMatico

LAGU Cinta Di Akhir Garisan yang dinyanyikan Ziana Zain, Nora Ariffin, Ning Baizura dan Dessy Fitri pernah mencetuskan fenomena tersendiri ketika diterbitkan pada tahun 1997.
Lagu ciptaan komposer Australia, Paul Begaud dan lirik ditulis Johari Teh tersebut kemudian diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris, dinyanyikan kumpulan Honeyz yang berasal dari United Kingdom pada Disember 1998.
Selepas hampir tiga dekad, kini Cinta Di Akhir Garisan diberi nafas baharu dan dinyanyikan semula empat penyanyi wanita hebat masa kini iaitu Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nadeera Zaini dan Aisha Retno.
Idea penerbitan semula lagu Cinta Di Akhir Garisan versi 2.0 ini datang daripada penerbit asalnya iaitu komposer terkenal Ajai dan syarikat Usanita Entertainment.
53 orang orkestra
Pemilik Usanita Entertainment, Datuk Adzliana Hasan dari awal lagi sudah menyambut baik idea yang dikemukakan Ajai untuk menerbitkan semula lagu Cinta Di Akhir Garisan versi baharu dengan barisan penyanyi baharu.
“Lagu ini memang sangat popular dan bila kita dengar, kita boleh nyanyikan bersama. Bila Ajai kemukakan idea ini, saya rasa ini adalah peluang yang sangat baik untuk dijadikan sebuah projek istimewa bawah Usanita Entertainment,” katanya.
Sementara itu kata Ajai, demi memberi suntikan kelainan dalam versi baharu, dia menggunakan khidmat pasukan orkestra seramai 53 orang dari Budapest.
“Saya mahu lagu ini kedengaran berlainan daripada sebelumnya. Disebabkan itu kita masukkan elemen orkestra. Cara nyanyian juga lain. Kita tak boleh samakan dengan cara nyanyian penyanyi-penyanyi asal.
“Sejujurnya agak susah juga untuk saya gubah versi baharu ini. Pertama saya nak tentukan posisi siapa yang menyanyi bahagian yang mana.
“Siapa yang perlu mula dulu, siapa ambil bahagian klimaks dan sebagainya.
“Paling susah adalah untuk memastikan kesemua mereka tidak ‘overshadow’ masing-masing. Setiap pembahagian perlu dilakukan dengan teliti dan dilakukan secara sederhana agar tiada yang kelihatan paling menonjol,” jelas Ajai.
Berkongsi mengenai penentuan empat penyanyi untuk projek kali ini, Ajai selesa memilih penyanyi yang pernah bekerjasama dengannya.
“Sebelum kita mulakan projek ini, ada beberapa nama yang dicadangkan.
“Tetapi ada penyanyi yang mempunyai kekangan waktu. Jadi apa yang dipilih adalah yang terbaik yang kita dapat.
“Kesemua mereka juga pernah bekerjasama dengan saya. Saya sudah tahu kelebihan masing-masing,” ujarnya.
Wujud perbandingan
Ditanya sekiranya ada yang membandingkan versi lama dan baharu, perkara tersebut tidak dapat dielakkan.
“Setiap lagu yang dinyanyikan semula, pasti akan wujud perbandingan. Datuk Sheila Majid juga pernah berdepan dengan perkara sama apabila dia menerbitkan album Legenda yang menampilkan lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee,” katanya.
Bagi keempat-empat penyanyi yang dipilih pula, kesemua mereka akui teruja dan gembira apabila diberikan peluang untuk menyanyikan semula lagu ikonik tersebut.

Bagi Marsha Milan, terpilih menjadi antara penyanyi dalam projek berkenaan adalah satu kejutan, memandangkan dia paling senior berbanding tiga penyanyi lain.
“Saya terkejut dan tertanya-tanya? Betul ke, sebab saya yang paling tua. Saya ingatkan ini adalah projek Gen-Z. Tetapi alhamdulillah saya gembira dapat terbabit dalam projek ini.
“Perkara sama turut dirasakan Adira yang terharu apabila dipilih bergandingan dengan antara penyanyi terbaik masa kini.
“Saya sangat gembira dengan peluang ini dan bersyukur atas rezeki ini. Bergandingan pula dengan penyanyi-penyanyi hebat. Sejujurnya saya tak sabar untuk menyanyikan lagu ini secara langsung bersama mereka semua,” jelasnya.
Belum lahir
Bagi penyanyi paling junior, Aisha Retno yang belum lahir ketika versi asal diterbitkan, dia akui teruja dapat bergandingan dengan senior-senior hebat.
“Saya anggap peluang ini sebagai satu tanggungjawab yang sangat besar. Bersyukur dapat dihimpunkan bersama Marsha, Adira dan Nadeera.
“Mereka ibarat kakak-kakak saya dalam industri. Tak sabar nak semua dengar dan lihat hasilnya,” ujarnya.
Keempat-empat penyanyi ini juga sudah bersedia seandainya dibandingkan dengan penyanyi asal dan turut berharap mereka juga dapat mencipta fenomena yang sama seperti 30 tahun lalu.
“Semoga lagu ini menjadi satu fenomena kepada semua pendengar di Malaysia, nendapat jumlah strim yang tinggi dan menjadi pengubat rindu buat pencinta lagu Cinta Di Akhir Garisan.
“Harapnya dapat komen yang murni-murni bila dikeluarkan nanti,” kata mereka penuh harapan.
Lagu Cinta Di Akhir Garisan 2.0 dijadualkan pelancaran tidak lama lagi turut hadir dengan video muzik yang menjalani penggambaran di Istana Budaya.

The post ‘Pastikan mereka tak ‘overshadow’ diri masing-masing’ appeared first on Kosmo Digital.
