Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Marriot Bonvoy telah bekerjasama dengan Bukit Merah Orang Utan Island Foundation (BMOUIF) melalui inisiatif A Story That Matters: Uniting Hospitality and Conservation for a Better Future’ bertujuan untuk memperkasa usaha pemuliharaan orang utan dan meningkatkan kerjasama bagi meningkatkan kesedaran terhadap kekayaan biodiversiti Malaysia.
Ia juga akan menggalakkan lebih ramai pelancong untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan pemuliharaan yang bermakna ini.
Teras utama kempen ini adalah kisah Aggy, seekor anak orang utan Borneo yang menjadi simbol kepada usaha pemuliharaan luar biasa yang dilaksanakan oleh BMOUIF yang memiliki pengalaman lebih dua dekad dalam industri berkenaan.
Kehilangan ibunya sejurus selepas dilahirkan, Aggy dipantau oleh pasukan veterinar dan penjaga yang memberikan penjagaan rapi sepanjang tempoh paling kritikal dalam hidupnya dan kini Aggy telah berjaya diperkenalkan semula ke Pulau Orang Utan, yang mana beliau diterima oleh seekor ibu angkat orang utan, satu pencapaian membanggakan yang terhasil melalui proses penjagaan dan pemulihan selama berbulan-bulan.

Melalui simbolik pengambilan angkat Aggy, kerjasama ini diharap dapat memberi inspirasi kepada para tetamu dan ahli Marriott Bonvoy untuk menyokong usaha berterusan BMOUIF dalam bidang pemuliharaan, rehabilitasi, penyelidikan dan pendidikan, sekali gus membantu menjamin masa depan yang lebih baik untuk spesies orang utan yang terancam.
Kempen ini turut menjadi sebahagian daripada platform kelestarian dan impak sosial Marriott International yang mencerminkan komitmen syarikat dalam mewujudkan impak positif kepada komuniti dan alam sekitar di setiap destinasi di mana ia beroperasi.
Naib Presiden Pasaran Malaysia, Marriot International, George Varughese berkata, kerjasama pihaknya dengan BMOUIFmencerminkan komitmen Marriott Bonvoy untuk menjadikan pelancongan sebagai satu kuasa yang membawa kebaikan.

“Hospitaliti bukan sekadar tentang mewujudkan hubungan bermakna sesama manusia, tetapi juga melalui destinasi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kita.
“Kami berharap inisiatif ini dapat memberi inspirasi kepada tetamu dan ahli kami untuk lebih menghargai khazanah alam semula jadi Malaysia serta menunjukkan bahawa setiap tindakan kecil mampu menyumbang kepada usaha melindunginya untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada kempen ini, hotel-hotel Marriott Bonvoy di seluruh Malaysia akan memperkenalkan beberapa inisiatif kesedaran dan pengalaman kepada tetamu bagi memberi peluang kepada mereka memahami usaha pemuliharaan orang utan serta menyokong perjuangan ini.
Kempen ini turut menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk meneroka Pulau Orang Utan, salah satu destinasi hidupan liar unik di negara ini. -KOSMO! ONLINE
The post Inisiatif bersama Marriot Bonvoy, BMOUIF tingkat kesedaran pemuliharaan orang utan appeared first on Kosmo Digital.
