Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Manuel Hidalgo layak untuk menyarung jersi skuad kebangsaan pada Piala ASEAN FIFA 2026 pada hujung bulan ini.
Kelulusan berkenaan disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman selepas Kongres Luas Biasa badan induk itu, semalam.
Menurut Noor Azman, pihaknya mendapat pengesahan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), kelmarin mengenai kelayakan Hidalgo untuk mewakili Malaysia.
Beliau menjelaskan Hidalgo kini boleh dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan dan bakal memperkuatkan Harimau Malaya bagi kempen Piala ASEAN FIFA, hujung bulan ini.
Beliau bagaimanapun berkata, seorang lagi pemain naturalisasi dari JDT, Shane Lowry masih belum mendapat pengesahan daripada badan induk bola sepak dunia itu.
“Mengenai Hidalgo kami baru dapat (surat kelulusan) dari FIFA semalam (kelmarin). Senarai nama pemain Malaysia akan dikeluarkan dalam masa terdekat, berkemungkinan esok (hari ini),” katanya.
Kehadiran Hidalgo yang bermain di posisi sayap dijangka mampu memperkuatkan lagi skuad negara selepas sebelum ini, Bergson Da Silva dan Brad Tapp sudah disahkan layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Ketika ditanya mengenai status permohonan pertahanan Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco untuk mendapatkan status pemain naturalisasi, Noor Azman menjelaskan beliau perlu menyemak terlebih dahulu perkara itu.
“Berkenaan Gallifuoco bagi saya semak dahulu dan mendapatkan maklumat terperinci sebab mungkin permohonannya ada sedikit masalah teknikal,” katanya. – UTUSAN
The post FIFA lulus Hidalgo sertai Harimau Malaya appeared first on Utusan Malaysia.
