Auto Added by WPeMatico

LONDON – Sebuah lubang benam sebesar duit syiling 10 pence (RM0.57) mendorong pihak berkuasa tempatan menutup keseluruhan jalan selama lebih seminggu, lapor portal berita MailOnline semalam.
Lubang kecil itu mengakibatkan jalan sepanjang 79 meter di Cowes, Isle of Wight, England ditutup.
Pihak berkuasa tempatan, Island Roads berkata, penutupan itu perlu kerana terdapat rongga lebih besar di bawah permukaan jalan.
Namun, seorang penduduk tempatan, Joise Parsons segera meluahkan rasa kecewa dengan berkata, terdapat jalan lain di pulau itu yang jauh lebih teruk dan perlu diberikan perhatian.
“Alahai, Island Roads. Saya tahu ada jalan yang jauh lebih teruk daripada lubang 10 pence ini. Tidak munasabah kamu (jalan ditutup hanya kerana lubang terlalu kecil),” katanya.
Lubang benam berlaku apabila lapisan permukaan tanah runtuh.
Sementara itu, seorang jurucakap Road Islands berkata: “Lokasi kejadian telah diambil alih oleh syarikat Southern Water yang akan memulakan kerja besar untuk menangani masalah tersebut Selasa ini.
‘Southern Water pula berkata: “Pasukan kami akan memulakan kerja pada Selasa ini untuk membaiki bahagian pembetung yang rosak di bawah Jalan St Mary’s.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan sepanjang kerja pembaikan dijalankan.” – AGENSI
The post Seminggu tutup jalan kerana lubang benam sebesar duit syiling appeared first on Kosmo Digital.