Auto Added by WPeMatico

JERANTUT – Lima sekeluarga termasuk empat beradik maut selepas kereta jenis Perodua Bezza dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di Kilometer 7 Jalan Jerantut – Maran di sini tengah malam semalam.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta, Mohamad Ikmal Ishak, 26, dan isterinya Nur Arfiqah Aziz Jaafar,23, serta tiga adik beradik Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli Aziz Jaafar,21, Mohamad Azizul Hakimi Aziz Jaafar, 19, dan Nurul Hazwani Aziz Jaafar,17.
Difahamkan semasa kejadian kesemua mangsa yang maut dalam perjalanan dari Bota Perak ke Jerantut.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu berlaku ketika MPV dalam perjalanan dari Maran menghala ke bandar Jerantut.
“Semasa sedang bergerak lurus apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta jenis Perodua Bezza membuat pusingan U di persimpangan secara mengejut dan berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan itu.
“Akibat kemalangan ini pemandu dan empat penumpang kereta jenis Perodua Bezza meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Ibrahim berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 12.42 tengah malam mendapati dua mangsa tersepit manakala tiga lagi tercampak keluar dari kereta.
Katanya, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lima sekeluarga maut kereta dirempuh Toyota Alphard appeared first on Kosmo Digital.