Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengesahkan penyertaan Imigresen FC II dan AAK UNISEL FC dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 sekali gus melengkapkan senarai 14 pasukan yang akan bersaing musim depan.
Kedua-dua pasukan itu sebelum ini berada dalam senarai menunggu dan perlu memenuhi beberapa syarat serta melengkapkan dokumentasi yang ditetapkan AFL sebelum diberikan pengesahan rasmi.
Selepas melalui proses penilaian dan semakan, Imigresen FC II serta AAK UNISEL FC berjaya memenuhi semua kriteria yang diperlukan bagi merebut dua slot terakhir yang masih kosong.
Sebelum ini, AFL mengumumkan 12 pasukan telah mengesahkan penyertaan untuk musim baharu, manakala empat pasukan berada dalam senarai menunggu bagi mengisi baki dua tempat yang tersedia.
Dalam kenyataan rasmi AFL, badan pengelola itu memaklumkan kedua-dua kelab berkenaan berjaya melengkapkan proses pendaftaran mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Setelah melalui proses semakan, kedua-dua pasukan kini disahkan penyertaan bagi melengkapkan jumlah 14 pasukan menyertai Liga A1 Semi-Pro 2026/2027,” menurut kenyataan tersebut.
AAK UNISEL FC yang sebelum ini dikenali sebagai AAK Puncak Alam FC bukanlah nama asing dalam arena bola sepak amatur tempatan apabila muncul antara empat pasukan terbaik Liga A2 Amateur 2025 selepas mara ke separuh akhir pertandingan itu.
Imigresen FC II pula hadir dengan pengalaman beraksi di Liga A1 Semi-Pro apabila menamatkan saingan musim lalu di kedudukan ke-10 keseluruhan dan kini berpeluang memperbaiki pencapaian mereka.
Saingan Liga A1 Semi-Pro 2026/2027 dijadual membuka tirai pada 28 Ogos ini dengan perlawanan pembukaan menemukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan USM FC di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
Dengan senarai peserta kini lengkap, tumpuan pasukan bertanding terarah kepada persiapan akhir menjelang sepak mula musim baharu yang dijangka lebih kompetitif dalam usaha memburu kejuaraan serta peluang melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam struktur bola sepak negara.-UTUSAN
The post AFL sahkan 14 pasukan bersaing di Liga A1 musim baharu appeared first on Utusan Malaysia.
