Auto Added by WPeMatico

![]()
MACHANG – Nahas yang mengorbankan seorang anggota tentera berpangkat Sarjan di Kilometer 37.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah di sini semalam dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang gagal memotong sebelum bertembung dengan sebuah trak Angkatan Tentera (ATM) seberat tiga tan dinaiki mangsa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.35 petang itu, mangsa, Fahmey Darus, 39, yang bertugas di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, siasatan awal mendapati, mangsa duduk di tempat duduk penumpang depan sebuah trak tiga tan jenis Hicom Handalan milik ATM yang dipandu seorang anggota bersama dua lagi penumpang.
Menurutnya, kenderaan berat itu sedang dalam perjalanan dari arah Tanah Merah menghala pulang ke Kem Desa Pahlawan.
“Semasa tiba di lokasi kemalangan, sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang lelaki yang datang dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai dipercayai memotong sebuah lagi kereta di depannya.
“Kereta berkenaan masuk ke laluan bertentangan iaitu jalan sah yang dilalui oleh trak ATM. Keadaan itu menyebabkan pemandu trak tersebut tidak sempat mengelak sebelum bertembung kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad Shafiki memberitahu, kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, tiga lagi anggota ATM dan pemandu kereta jenis Proton Wira yang cedera dihantar ke Hospital Machang di sini untuk rawatan awal.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang anggota ATM maut, manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera selepas trak lima tan yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Bukit Belah di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Ahmad Alfarra Mohamad Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.51 petang sebelum enam anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kemalangan.
“Salah seorang daripada empat anggota tentera itu meninggal dunia di lokasi kemalangan. Pemandu kereta Proton Wira berada dalam keadaan tersepit dan mengalami kecederaan parah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Anggota tentera maut angkara Proton Wira tak lepas memotong appeared first on Kosmo Digital.