Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencuri tumpuan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Tinjauan Kosmo! di lokasi mendapati sebanyak empat ekor kuda bersama sejumlah anggota daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berada di kawasan sekitar taman rekreasi KLCC.
Malah, orang awam yang berada di lokasi turut mengambil kesempatan bergambar bersama unit berkuda berkenaan. Empat ekor kuda itu yang terdiri daripada baka Carielo, Warm Blood dan Polo dikenali sebagai Mickey, Tatoo, Zipper dan Lechuga.
Lebih menarik, salah seekor kuda iaitu Mickey pernah ditunggang oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengetuai perbarisan Hari Kebangsaan 2024.
Menurut salah seorang anggota bertugas, unit itu ditugaskan untuk melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan sekitar taman bermula pukul 6 pagi hingga 6 petang.
Menurutnya, penugasan unit berkuda itu berperanan sebagai ‘omni presence’ bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
Bahang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kini semakin dirasai dengan kurang daripada 24 jam sebelum persidangan berprestij itu bermula yang akan dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan pemimpin negara anggota ASEAN. – KOSMO! ONLINE
The post Mickey, Zipper, Tatoo, Lechuga ‘jaga’ KLCC appeared first on Kosmo Digital.