Auto Added by WPeMatico

HULU SELANGOR – Seorang lelaki yang ditemukan lemas di Air Terjun Sungai Pertak Kampung Pertak, Kuala Kubu Baru, di sini, pagi tadi disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kubu Baharu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar pukul 10.20 pagi.
Menurutnya, seramai 22 anggota dari Balai Polis Kuala Kubu Baharu serta Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia digerakkan ke lokasi kejadian.
“Usaha menyelamat mangsa berusia 20 tahun berjaya dilakukan pada pukul 11.19 pagi.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa lemas ketika sedang mandi di Air Terjun Sungai Pertak yang berkedalaman lima meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Hospital Kuala Kubu Baharu.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak pembantu perubatan hospital kira-kira pukul 12.35 tengah hari.
“Bedah siasat dijalankan pihak hospital mendapati punca kematian mangsa disebabkan paru-paru dipenuhi air,” ujarnya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang lelaki ditemukan lemas semasa bermandi-manda di Air Terjun Sungai Pertak Kampung Pertak, Kuala Kubu Baru, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.27 pagi. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki lemas mandi Air Terjun Pertak disahkan meninggal dunia appeared first on Kosmo Digital.