Auto Added by WPeMatico

![]()
MELAKA – Kegembiraan sebuah keluarga meraikan perayaan Deepavali bertukar cemas apabila lantai beranda rumah warisan berusia lebih 100 tahun di Kampung Chetti, Gajah Berang, tiba-tiba roboh ketika saudara-mara hadir berkumpul malam Ahad lalu.
Menurut salah seorang penghuni rumah, S. Divya Darshini, 24, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.45 malam selepas kediaman itu dipenuhi sekitar 25 sanak saudara, dengan sebahagian berada di beranda untuk melihat kanak-kanak bermain bunga api.
Katanya, suasana menjadi kecoh apabila struktur lantai tiba-tiba mendap sebelum roboh menyebabkan beberapa tetamu terjatuh dan menjerit ketakutan.
“Nasib baik tiada siapa yang cedera. Cuma kami semua terkejut sebab bunyinya kuat sangat. Bila tengok semula, sebahagian lantai depan dah runtuh terus ke bawah.
“Saya syak insiden itu berlaku kerana terlalu ramai orang berada di dalam rumah pada masa yang sama,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Divya yang merupakan generasi ketiga penghuni rumah tersebut berkata, kediaman keluarganya itu antara yang masih kekal di kawasan Kampung Chetti dan mempunyai nilai sejarah tersendiri.
Tambahnya, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Melaka Tengah pada pukul 9.31 malam bagi mendapatkan pihak berwajib menilai tahap keselamatan kediaman itu memandangkan kawasan tersebut terletak dalam tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Lantai depan rumah rosak teruk dan tiang beranda sudah tidak kukuh. Bila-bila masa sahaja boleh roboh sepenuhnya.
“Jadi, kami benar-benar berharap perhatian segera dapat diberikan oleh pihak berkuasa bagi mengekalkan nilai sejarah serta keselamatan penduduk,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lantai rumah 100 tahun roboh ketika rai Deepavali appeared first on Kosmo Digital.