Auto Added by WPeMatico

![]()
ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan melaksanakan proses penanaman padi secara tabur terus kering (TTK) bagi Musim 1/ 2026 berikutan cuaca panas dan musim kemarau yang masih melanda negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, ia merupakan kaedah alternatif terbaik buat masa ini bagi memastikan kesemua 100,641 hektar sawah terus diusahakan, sekali gus menjamin bekalan beras negara.
Kata beliau, kaedah tersebut bagaimanapun mempunyai risiko tertentu termasuk hasil yang dijangka boleh merosot, ancaman pertumbuhan rumpai dan peningkatan kos mengusahakan sawah.
“Kaedah TTK ini pernah dilakukan sebanyak enam kali iaitu sepenuhnya pada 1987; 1991; 1992 dan 1993 yang ketika itu turut berdepan musim panas di negeri ini. Pada 2017 dan 2020 pula TTK tidak diteruskan kerana berlaku hujan.
“Daripada segil hasil, memang akan terkesan sedikit yang mana kita menjangkakan sekitar empat tan sehektar. Pada 1987, hasil tuaian hanya 2.3 tan, 1991 (3.5 tan); 1992 (3.1 tan) dan 1993 (3.9 tan). Bagi 2017 dan 2020 hasil masing-masing 5.98 dan 5.96 sebab berlaku hujan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, proses membajak pula memerlukan sehingga lima pusingan untuk penyediaan tanaman secara TTK yang sudah tentu memerlukan kos tambahan selain benih yang lebih banyak dan racun untuk melawan rumpai.
“Buat masa ini, kaedah ini dilihat sebagai strategi terbaik bagi mengoptimumkan penggunaan sumber air yang terhad serta memastikan jadual penanaman dapat diteruskan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air pengairan pada peringkat awal tanaman.
“Namun begitu, jika berlaku hujan kita tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada kaedah TTK seperti mana dilalui pada 2017 dan 2020 yang akhirnya proses penanaman padi dilakukan seperti biasa,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE.
The post Tanam padi guna kaedah tabur terus kering appeared first on Kosmo Digital.
