Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Penyanyi Amira Othman mencuri perhatian ramai apabila memuat naik sebuah video terbaharu menunjukkan susuk pelakon Fattah Amin dalam akaun TikToknya.
Apa yang menarik, keberanian pemilik nama lengkap Nadia Amira Othman, 32, itu menggunakan lagu Jatuh Cinta Lagi nyanyian asal Nadhif Basalamah sebagai latar muzik dalam video tersebut dilihat seperti cuba memberi bayangan tentang perasaan hatinya buat Fattah ketika ini.
Pendekatan pelantun lagu Hati-Hati itu yang tidak meletakkan sebarang kapsyen dan penjelasan mengenai video menunjukkan Fattah sedang duduk-duduk di sebuah ruang tersebut juga mengundang rasa ingin tahun peminat.
Selain komen-komen nakal, adiknya yang juga penyanyi iaitu Irfan Haris turut meninggalkan komen bernada usikan terhadap tindakan kakaknya itu.
“Tak apa, kita buat-buat tak faham saja lah,” katanya.
Rata-rata peminat sangat teruja dan ada juga yang menyangka Amira tersalah memuat naik kandungan dalam media sosial.
“Kaklong ( nama panggilan Amira), sempat lagi kalau nak padam kalau tertekan. Harapnya tidaklah ye,” kata peminat.
“Perempuan kalau berani muat naik hantaran begini dalam akaun sendiri maksudnya ada apa-apa lah. Kak Ya (nama panggilan Amira) ini bukan status WhatsApp,” ujar pengikut.
“Tarikh hari ini pun cantik, hari Jumaat. Ada apa-apa ke?,” soal netizen.
Sebelum ini, Amira dan Fattah mula mendapat perhatian selepas bergandingan dalam video muzik lagunya yang berjudul Bila Nak Kahwin.
Sejak dari itu, hubungan mereka semakin rapat selepas beberapa jenama mengambil mereka sebagai duta bersama.
Meski kerap diasak menjelaskan status hubungan, kedua-dua mereka konsisten menjelaskan bahawa mereka hanyalah rakan sekerja. – KOSMO! ONLINE
The post Amira Othman ‘Jatuh Cinta Lagi’ pada Fattah Amin appeared first on Kosmo Digital.