Auto Added by WPeMatico

MUAR – Seorang peniaga dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sembilan bahagian haiwan hidupan liar dilindungi, bulan lalu.
Tertuduh, Ter Ping Heng, 56, membuat pengakuan itu sejurus empat pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menyimpan masing-masing satu bahagian Harimau Belang (Panthera Tigris) dan Beruang Matahari (Helarctos Malaynus) yang merupakan hidupan liar dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Mengikut pertuduhan ketiga dan keempat tertuduh didakwa menyimpan masing-masing lima bahagian Gajah Asia (Elaphas Maximus) yang dilindungi di bawah Jadual Kedua dan dua bahagian babi hutan (Sus Scrofa) yang dilindungi di bawah Jadual Pertama tanpa lesen.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman di bawah 60(1)(b) dan Seksyen 68(1)(b) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 6 petang di sebuah rumah beralamat di Taman Beting Indah, Muar pada 30 Ogos lalu.
Difahamkan tertuduh menyeludup kesemua bahagian haiwan itu iaitu kulit harimau belang, kuku beruang matahari, gading gajah dan taring babi dengan menaiki bas dari Thailand sebelum menjualnya sebagai tangkal serta cenderahati.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Anongrakh Wechit mencadangkan jaminan sebanyak RM55,000 berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada pihak mahkamah dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran.
Peguam Tay Chee Fu yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit tulang belakang yang kronik selain menanggung seorang adik orang kurang upaya serta ibu.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak Sayani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM21,000 dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah. Beliau kemudian menetapkan tarikh 7 Oktober depan untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE
The post Peniaga ‘online’ didakwa miliki kulit harimau belang, kuku beruang appeared first on Kosmo Digital.