Auto Added by WPeMatico

HULU SELANGOR – Seorang lelaki Orang Asli dikhuatiri lemas semasa mandi di Sungai Cherandong dekat Kampung Orang Asli Buloh Telur, Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang lelaki sekitar pukul 12.45 pagi.
Menurutnya, pengadu memaklumkan bahawa abangnya disyaki telah hilang semasa mandi bersama rakannya di Sungai Chendarong.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang mandi ingin menaiki sebuah rakit yang dibawa oleh rakannya.
“Mangsa dipercayai sempat memegang pada bahagian tepi rakit, namun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa sempat menaikinya kerana kejadian berlaku di selekoh sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ibrahim berkata, usaha mencari mangsa berusia 47 tahun itu telah digerakkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat di lokasi kejadian.
“Dalam operasi pencarian sehingga pukul 5 petang hari ini, mangsa masih belum ditemui dan usaha mencari mangsa disambung semula pada pukul 7.30 malam,” ujarnya.
Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan agar peka terhadap keselamatan diri sewaktu beriada atau mengunjungi pusat rekreasi bersama keluarga atau rakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki hilang dikhuatiri lemas di Sungai Cherandong appeared first on Kosmo Digital.