Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Sebanyak 143 jumlah projek pelaburan pusat data yang telah diluluskan sepanjang tempoh 2021 sehingga 30 Jun tahun ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, Liew Chin Tong berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 25 projek berstatus Malaysia Digital (MD) telah diluluskan insentif Digital Ecosystem Acceleration Scheme (DESAC) dengan jumlah pelaburan sebanyak RM144.4 bilion.
“Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan sebanyak 1,429 pekerjaan baharu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang meminta kementerian menyatakan jumlah projek pusat data yang diluluskan, unjuran penggunaan elektrik dan air serta strategi kerajaan mengimbangi pelaburan kecerdasan buatan (AI) dengan keselamatan sumber negara.
Tambah Chin Tong, pusat data adalah infrastruktur utama dalam pembangunan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Jelasnya, hala tuju Kerajaan adalah untuk memastikan pelaburan pusat data mengutamakan pelaburan keseluruhan rantaian bekalan (whole-of-value-chain investment).
“Ini termasuk pusat data sebagai ‘offtaker’ atau pengguna tenaga boleh baharu, mewujudkan rantaian bekalan tempatan bagi peralatan pusat data, menghasilkan peluang pekerjaan bergaji setimpal untuk warga Malaysia, dan meluaskan penggunaan AI dalam ekonomi, khususnya diguna pakai dalam industri negara kita,” katanya.
Berkenaan dengan unjuran penggunaan sumber, Chin Tong berkata, data daripada Suruhanjaya Tenaga menunjukkan bahawa penggunaan elektrik sebenar bagi pusat data seluruh negara setakat Jun adalah sebanyak 603megawatt (MW).
“Berbanding dengan Maximum Demand (MD) yang diisytiharkan iaitu sebanyak 1,276MW, mencatatkan peratusan penggunaan kira-kira 47 peratus dari MD yang diisytihar.
Sementara itu, Ching Tong berkata dalam aspek penggunaan air, data daripada operator air negeri Selangor (yang juga membekalkan air kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya) dan Johor menunjukkan bahawa penggunaan air oleh pusat data adalah terkawal.- KOSMO! ONLINE
The post 143 projek pelaburan pusat data diluluskan hingga Jun 2025 appeared first on Kosmo Digital.