Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Dua anggota tentera ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mencederakan seorang anggota lain sehingga parah di Kem Iskandar, Mersing, bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima satu laporan berhubung kejadian menggunakan kekerasan jenayah yang berlaku di kem itu pada 14 Mac lalu kira-kira 8.31 malam.
Katanya, mangsa merupakan seorang anggota tentera berumur 25 tahun telah mengalami kecederaan retak di bahagian tengkorak kepala dan pendarahan di dalam otak dan kini sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
“Bertindak di atas maklumat, pada hari yang sama lebih kurang 11.45 malam, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mersing telah menangkap dua anggota tentera berumur 24 tahun daripada kem yang sama kerana disyaki terlibat di dalam kes ini.
“Pihak polis juga turut merampas sebatang rotan sepanjang lebih kurang 72 cm yang disyaki digunakan sebagai senjata di dalam kes ini. Hasil semakan rekod jenayah mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan jalan menggunakan senjata.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.-KOSMO! ONLINE.
The post Polis tahan dua tentera insiden komando parah, rampas rotan 72 cm appeared first on Kosmo Digital.
